Filem Dajal: Satu Malam diPedajal Lancar Lagu Tema, Trailer, dan Video Di Sebalik Tabir
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu
Metrowealth International Group (MIG) melancarkan lagu tema, trailer, dan video di sebalik tabir filem thriller baharu arahan pengarah berbakat Pierre Andre, Dajal: Satu Malam diPedajal, dalam sebuah majlis eksklusif.
Pierre Andre, yang terkenal dengan sentuhannya dalam dunia perfileman tempatan, mencipta kelainan dengan mengetengahkan genre thriller yang jarang dilihat dalam industri.
Filem ini menjadi taruhan terbaharu MIG, menggabungkan unsur seram dan elemen mendebarkan untuk memberikan pengalaman menonton yang unik.
Di majlis pelancaran ini, penyanyi popular Zynakal mempersembahkan lagu tema filem, “Di Kala Malam”, hasil kolaborasi pertamanya dengan MIG.
Lagu ini dihasilkan dengan penuh emosi, menonjolkan tema gelap dan misteri yang selari dengan mood filem.
Menurut penerbit David Teo, filem ini sepenuhnya hasil tulisan Pierre Andre, yang membawa naratif unik dan jalan cerita memukau.
Dajal: Satu Malam diPedajal mengisahkan dua pekerja Post Traumatic Cleaner yang terperangkap secara misteri di sebuah banglo selepas salah seorang daripada mereka membaca sebuah buku ritual lama semasa kerja pembersihan.
Kejadian ganjil dan menyeramkan mula menghantui mereka, menjadikan kisah ini penuh debaran.
Filem ini menampilkan Amir Nafis dan pempengaruh terkenal Bidin Al Zaifa sebagai pelakon utama, disokong oleh pelakon hebat seperti Khatijah Tan, Jay Iswazir, Jaja Iliyes, Dai Syed, Hanna Halim, Dai Fuad, dan Arfa Danish.
Dajal: Satu Malam diPedajal bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 6 Februari 2025.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem ini yang menjanjikan pengalaman seram mendebarkan dan menjadi pencetus kebangkitan genre thriller dalam industri perfileman tempatan.