Filem Box Office Kahar: Kapla High Council Melangkah ke Astro First dan Luar Negara
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Selepas mencatatkan kejayaan luar biasa di pawagam dengan kutipan melebihi RM13 juta di Malaysia, Singapura, dan Brunei, filem aksi Kahar: Kapla High Council kini akan menemui peminat di Astro First.
Tayangan eksklusif ini bermula 16 Januari menerusi saluran Astro, manakala di aplikasi sooka, ia tersedia mulai 23 Januari 2025.
Lebih mengagumkan, filem terbitan Astro Shaw bersama GSC, HM Entertainment, dan ZAK Capital ini melangkah ke peringkat antarabangsa apabila bakal ditayangkan di pawagam-pawagam Kemboja bermula 24 Januari.
Ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam mengangkat karya tempatan ke pentas global.
Bagi penonton tempatan yang ingin menikmati filem ini dari keselesaan rumah, anda boleh melanggan di Astro First dengan harga RM29 (tidak termasuk cukai) untuk tempoh tontonan selama 48 jam.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan rasa bangga dengan kejayaan filem Kahar: Kapla High Council dan gembira dapat menayangkannya di Astro First untuk tontonan lebih ramai penonton.
“Kami berbangga dengan kejayaan filem ini dan gembira dapat mempersembahkannya di Astro First untuk lebih ramai penonton. Filem ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga membawa mesej penting berkaitan isu sosial seperti buli dan keganasan, dengan harapan ia memberi kesedaran kepada masyarakat.”
Filem Kahar: Kapla High Council diarahkan oleh Razaisyam Rashid, dengan skrip hasil ciptaan Anwari Ashraf bersama beberapa penulis lain.
Filem ini mengembalikan watak Kahar, seorang pelajar Kolej Ungku Deramat (KUDRAT) pada tahun 2005, setahun sebelum peristiwa dalam siri Project: High Council.
Pelakon utama Amir Ahnaf memegang watak Kahar, disokong oleh barisan pelakon seperti Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Fazziq Muqris, dan ramai lagi. Penampilan khas termasuk Naim Daniel, Mierul Aiman, dan Nadhir Nasar turut menyemarakkan naskhah ini.
Dengan mesej utama #StopViolence dan #StopBully, Kahar: Kapla High Council mengetengahkan isu keganasan serta tekanan dalam institusi kekeluargaan dan remaja. Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga karya yang menyentuh realiti sosial.
Jangan lupa untuk menonton Kahar: Kapla High Council di Astro First mulai 16 Januari dan di sooka bermula 23 Januari.
Untuk maklumat lanjut, layari www.support.astro.com.my atau sooka.my, dan ikuti akaun media sosial rasmi.