Filem Bila Esok Ibu Tiada: Saksikan Kisah Penuh Emosi di Pawagam Malaysia 12 Disember Ini
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Bila Esok Ibu Tiada, filem yang dinanti-nantikan, bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 12 Disember 2024. Sebagai pembuka tirai, sebuah Tayangan Khas telah berlangsung pada Isnin, 9 Disember, bertempat di GSC Tropicana Gardens Mall, anjuran GSC Movies.
Diadaptasi daripada novel laris karya Nagiga Nur Ayati, filem arahan Leo Pictures ini menampilkan barisan pelakon ternama seperti Amanda Manopo dan Fedi Nuril.
Kisahnya mengetengahkan hubungan kekeluargaan yang penuh cabaran, kasih sayang, dan pengorbanan, menjadikannya sebuah karya yang dijangka meninggalkan kesan mendalam.
Filem ini mengisahkan perjuangan seorang ibu, Rahmi (Christine Hakim), yang membesarkan empat anaknya, Ranika (Adinia Wirasti), Rangga (Fedi Nuril), Rania (Amanda Manopo), dan Hening (Yasmin Napper), selepas pemergian suaminya, Haryo.
Sebagai ibu tunggal, Rahmi berjuang memastikan keperluan harian keluarganya dipenuhi sambil menjaga keharmonian di kalangan anak-anak. Namun, masa berlalu, anak-anaknya semakin sibuk dengan kehidupan masing-masing, membuatkan Rahmi merasa tersisih.
Konflik antara adik-beradik mula timbul apabila si sulung, yang kini menjadi tulang belakang keluarga, menunjukkan sikap autoritarian yang mencetuskan perpecahan. Di sebalik semua itu, Rahmi terus menyayangi anak-anaknya sepenuh hati, walaupun sering mengabaikan dirinya sendiri.
Namun, apabila mereka kehilangan Rahmi buat selama-lamanya, empat beradik itu terpaksa bersatu dan menghadapi realiti untuk meneruskan kehidupan seperti yang diharapkan oleh ibu mereka.
Adakah mereka mampu melaksanakan harapan Rahmi untuk kembali hidup harmoni? Saksikan filem ini yang penuh dengan pengajaran dan emosi bermula 12 Disember 2024 di pawagam seluruh Malaysia.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kisah yang mampu menyentuh hati anda, sebagaimana ia menyentuh hati para hadirin di Tayangan Khas!