Ikuti Kami:

Filem ANGKAT Tampil Kelainan, Tawar Tiket RM10

Filem ANGKAT Tampil Kelainan, Tawar Tiket RM10

Feisk Productions memperkenalkan pendekatan berani bagi tayangan filem terbaharu mereka ANGKAT apabila menawarkan tiket pada harga serendah RM10 sempena tayangan rasmi yang akan bermula pada 14 Ogos ini di seluruh negara.

Langkah ini diambil sebagai usaha menggalakkan kehadiran penonton ke pawagam, terutama dalam empat hari pertama tayangan yang dianggap kritikal bagi kelangsungan sesebuah filem tempatan.

Menyedari cabaran industri perfileman dalam menarik penonton ke layar perak, penerbit bersama Iskander Azizuddin berkata pihaknya sanggup menanggung kos pemotongan harga demi memastikan ANGKAT dapat ditonton oleh lebih ramai rakyat Malaysia.

“Dengan harga tiket biasa sekitar RM20, ramai yang berkira-kira untuk ke pawagam. Jadi kami ambil inisiatif ini untuk memudahkan akses dan pada masa sama memberi pengalaman filem tempatan yang berkualiti,” katanya.

Promosi ini dijalankan secara eksklusif dengan TGV Cinemas membabitkan beberapa lokasi terpilih di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak sepanjang tempoh pra-jualan bermula 1 hingga 13 Ogos.

Filem ANGKAT mengangkat tema kekeluargaan, kematian dan perjalanan pulang yang penuh liku dalam gabungan genre drama dan komedi gelap.

Ia mengisahkan tiga beradik yang mempunyai hubungan renggang yang terpaksa membawa pulang jenazah bapa mereka ke kampung untuk dikebumikan. Namun 30 kilometer sebelum tiba di destinasi, van yang membawa mereka rosak dan mereka tiada pilihan selain memikul keranda tersebut bagi meneruskan baki perjalanan.

Filem berdurasi 90 minit ini diarahkan oleh Feisal Azizuddin dan ditulis bersama Wong King Wai serta Ellina Abdul Majid. Ia dibintangi Firdaus Karim, Sky Iskandar dan Syazani Zikry bersama Sara Mack Lubis, Ayu Azlina Azhar Amir, Liana Rafiai dan Nazmi Suhaimi.

Sebelum tayangan umum di Malaysia, ANGKAT telah ditayangkan di peringkat antarabangsa menerusi Blue Chair Film Festival 2024 di Laos, sebuah festival yang menghimpunkan suara baharu dalam sinema Asia.

Filem ini turut melalui fasa pembangunan di beberapa platform filem serantau berprestij termasuk Asian Film Market di Busan, Southeast Asian Film Financing Project Market di Singapura dan Luang Prabang Talent Lab di Laos.

Diterbitkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu dan siap pada tahun 2024, ANGKAT menjanjikan satu pengalaman sinematik yang menyentuh hati, menggabungkan elemen realisme magis, jenaka halus dan konfrontasi emosi yang boleh dikaitkan oleh ramai penonton Malaysia.

Tayangan bermula 14 Ogos. Tiket boleh didapati pada harga RM10 bagi tempoh terhad di cawangan TGV berikut:

– Kuala Lumpur: TGV Wangsa Walk, TGV AEON AU2 Keramat
– Selangor: TGV Bukit Raja, TGV Bukit Tinggi, TGV iCity
– Perak: TGV Station 18, TGV Manjung, TGV Taiping
– Pulau Pinang: TGV 1st Avenue
– Johor: TGV Tebrau
– Sarawak: TGV Bintulu

Dapatkan tiket di www.tgv.com.my.

Komen
Loading...