Filem Aksi Jenayah Hong Kong Termahal, Sons Of The Neon Night Tiba Oktober Ini
- oleh Mohd Indera
- 23 Sep 2025 2:05 pm

Selepas 10 tahun proses pembikinan, filem aksi jenayah Hong Kong termahal dalam sejarah, Sons of the Neon Night, bakal menggegarkan pawagam Malaysia bermula 9 Oktober ini.
Diterajui barisan pelakon ternama Asia seperti Takeshi Kaneshiro, Sean Lau, Louis Koo, Tony Leung Ka Fai dan Gao Yuanyuan, filem ini turut dibintangi Alex To, Nina Paw serta Jiang Peiyao, dengan penampilan khas Jennifer Yu.
Karya epik ini ditulis, diterbitkan dan diarahkan oleh Juno Mak, yang kembali ke layar perak selepas kejayaan Rigor Mortis.
Berlatarkan Hong Kong diselubungi ribut salji luar biasa, cerita bermula dengan letupan besar di Causeway Bay yang membawa polis, kartel dadah, pembunuh upahan dan korporat elit ke dalam satu konspirasi penuh rahsia. Keunikan produksi ini turut terserlah melalui pembinaan set berskala penuh 1:1 Causeway Bay, dipadukan dengan teknologi penggambaran maya moden bagi menampilkan pertembungan api dan salji yang jarang dilihat dalam sinema Asia.
Antara watak utama yang mencuri perhatian termasuk Kaneshiro sebagai Li Wu-Tong, pewaris empayar farmaseutikal penuh misteri; Sean Lau sebagai Ketua Inspektor Wong Tat; Tony Leung Ka Fai sebagai Ketua Inspektor Tai Man-Kit; Louis Koo sebagai pembunuh upahan yang dingin; serta Gao Yuanyuan sebagai Dr. Liu Si-Xin, psikiatri yang menambah lapisan konflik emosi dalam naratif.
Filem ini telah dipertontonkan buat kali pertama di Festival Filem Cannes melalui segmen Midnight Screening dan menerima pujian meluas daripada pengkritik antarabangsa.
Ia kemudian dipilih menyertai Festival Filem Antarabangsa Fantastik Sitges ke-58 dan Festival Filem Antarabangsa Hawaii ke-45, mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara karya paling dinanti tahun ini.
Dengan produksi gergasi, lakonan mantap serta penceritaan yang mengaburkan sempadan antara keadilan dan jenayah, Sons of the Neon Night diyakini bakal mencipta fenomena baharu di layar perak.
Filem ini dibawa ke Malaysia oleh Lotus Five Star Sdn. Bhd. dan Five Star AV Sdn. Bhd., dengan kerjasama MYFM serta MELODY sebagai rakan media, manakala Infinity Entertainment Marketing Sdn. Bhd. bertindak sebagai rakan pemasaran rasmi.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Sons of the Neon Night di pawagam seluruh Malaysia bermula 9 Oktober 2025.