Filem Aksi Jenayah Caught Stealing Tayang Di Malaysia Mulai 30 Oktober 2025
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Filem aksi jenayah terbaharu berjudul Caught Stealing bakal menemui penonton di seluruh Malaysia bermula 30 Oktober 2025.
Filem arahan pengarah tersohor dan calon Anugerah Akademi Darren Aronofsky ini menampilkan Austin Butler sebagai Hank Thompson, seorang bekas pemain besbol sekolah menengah yang kehidupannya berubah secara drastik selepas terjebak dalam dunia jenayah tanpa disedari.
Hank kini bekerja sebagai bartender di sebuah bar di New York dan menjalani kehidupan tenang bersama teman wanitanya lakonan Zoë Kravitz.
Namun, apabila jirannya yang berjiwa punk-rock Russ lakonan Matt Smith meminta Hank menjaga kucingnya buat sementara waktu, hidupnya berubah sekelip mata.
Permintaan kecil itu membawa Hank ke dalam situasi penuh bahaya apabila dia diburu oleh sekumpulan gangster yang misteri dan berbahaya.
Tanpa mengetahui sebab sebenar dirinya menjadi buruan, Hank perlu menggunakan segala akalnya untuk terus hidup dan membongkar rahsia di sebalik kekacauan yang menimpanya.
Filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon terkenal antaranya Regina King, Liev Schreiber, Vincent D’Onofrio, Griffin Dunne, Benito A Martínez Ocasio dan Carol Kane.
Skrip filem ini ditulis oleh Charlie Huston berdasarkan novelnya sendiri yang turut menjadi penerbit eksekutif bersama Ann Ruark. Ia diterbitkan oleh Jeremy Dawson, Dylan Golden, Ari Handel dan Darren Aronofsky.
Caught Stealing dijangka menjadi antara filem yang paling dinanti-nantikan pada penghujung tahun ini.