Ikuti Kami:

Filem Adaptasi Novel Bestseller ‘Gantung’ Bakal Gegar Pawagam Jun Ini

Filem Adaptasi Novel Bestseller ‘Gantung’ Bakal Gegar Pawagam Jun Ini

Selepas tujuh tahun ditayangkan sebagai drama bersiri di kaca televisyen, karya fenomena Gantung kini kembali dalam bentuk filem penuh berjudul Gantung: Musketeer Code yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 5 Jun ini.

Diadaptasi daripada novel laris terbitan Buku Fixi hasil tulisan Nadia Khan, filem ini menjanjikan kelainan dan kesinambungan yang telah lama dinantikan peminat tegar kisah berkenaan. Kali ini, penceritaan lebih fokus dan padat, dengan elemen misteri serta psikologi remaja yang lebih mendalam.

Nadia yang juga bertindak selaku pengarah, penulis skrip dan penerbit eksekutif berkata, pembikinan filem ini adalah hasil desakan dan sokongan padu daripada peminat novel Gantung yang mahukan penamat yang memuaskan.

“Filem ini bukan sekadar hiburan. Ia adalah satu amanah daripada peminat yang selama ini menunggu jalan cerita disempurnakan dengan baik di layar lebar. Kami mulakan crowdfunding pada Januari 2020 dan berjaya kumpul RM200,000 menerusi penjualan buku edisi khas, baju dan barangan eksklusif.

“Walaupun pandemik COVID-19 menyebabkan penangguhan, kami teruskan juga usaha ini kerana percaya karya ini ada suara dan jiwa yang mewakili generasi muda,” ujar Nadia kepada pihak media.

Gantung: Musketeer Code mengisahkan Khalil (Ikmal Amry), seorang pengarah filem terkenal yang kembali ke sekolah lamanya setelah dihubungi bekas teman sekolah, Farah (Shazia Rozaini).

Kepulangannya membongkar kembali tragedi hitam 10 tahun lalu melibatkan kematian seorang pelajar perempuan, Ratna (Gita Sucia), yang menggantung diri di auditorium. Khalil bersama tiga sahabatnya iaitu Gibbs (Ben Amir), KJ (Brandon Salim) dan Troll (Hafreez Adam) pernah dituduh menjadi punca kejadian tersebut.

Barisan pelakon yang menghidupkan watak utama termasuk Ikmal Amry sebagai Khalil, Ben Amir sebagai Gibbs, Hafreez Adam sebagai Troll, Brandon Salim sebagai KJ, Shazia Rozaini sebagai Farah dan Gita Sucia sebagai Ratna.

Filem ini turut dibintangi nama-nama besar seperti Bront Palarae, Sofia Jane, Chew Kin Wah dan Nadiya Nisaa.

Menariknya, watak Gibbs dan Farah yang dahulu dilakonkan oleh Randy Pangalila dan Mentari de Marelle digantikan dengan pelakon tempatan Ben Amir dan Shazia Rozaini, sekali gus memberi nafas baharu kepada naskhah ini.

Menurut Nadia, filem ini tetap boleh diikuti penonton yang belum pernah menonton siri televisyen atau membaca novel.

“Karya ini dibuat supaya boleh berdiri sendiri. Ada perubahan daripada novel, namun sebagai penulis asal saya pastikan intipati dan semangat cerita asal kekal dalam filem,” jelas beliau.

Dihiasi dengan skor muzik oleh monoloQue dan lagu tema ciptaan Aidit Alfian, Gantung: Musketeer Code bukan sekadar sebuah filem remaja tetapi menyampaikan mesej tentang persahabatan, kesilapan masa lalu dan harapan untuk penebusan.

Dengan genre yang menggabungkan drama, misteri dan elemen psikologi, filem ini dijangka mampu menarik bukan sahaja peminat asal novel tetapi juga generasi baharu pencinta filem tempatan.

Gantung: Musketeer Code bakal menjadi antara filem tempatan paling dinantikan tahun ini. Adakah kebenaran akan terbongkar selepas sedekad tersimpan rapi? Jawapannya menanti di pawagam bermula 5 Jun ini.

Komen
Loading...