Filem Adaptasi Andy Weir, Project Hail Mary Ditayangkan Mac 2026
- oleh Mohd Indera
- 1 Jul 2025 5:13 pm

Novel fiksyen sains laris tulisan Andy Weir kini diangkat ke layar perak menerusi filem Project Hail Mary yang dijadualkan untuk tayangan seluruh dunia pada 20 Mac 2026.
Diarahkan oleh Phil Lord dan Christopher Miller, filem ini menampilkan pelakon terkenal Hollywood, Ryan Gosling sebagai watak utama Ryland Grace, seorang guru sains yang mendapati dirinya berada di dalam kapal angkasa berjuta-juta kilometer dari Bumi tanpa sebarang memori tentang siapa dirinya.
Ketika ingatannya mula pulih, Grace menyedari bahawa dia adalah satu-satunya harapan manusia untuk menyelamatkan Bumi daripada kemusnahan akibat fenomena kosmik misteri yang melemahkan matahari. Berbekalkan ilmu sains dan pendekatan luar kotak, dia perlu merungkai misteri ini sebelum terlambat.
Namun, perjalanan ini turut menemukan Grace dengan satu bentuk persahabatan luar jangka yang mungkin menjadi kunci utama kepada misi tersebut.
Project Hail Mary diterbitkan oleh Amazon MGM Studios bersama Pascal Pictures, Lord Miller dan General Admission/Waypoint. Selain Gosling, barisan pelakon turut menampilkan Sandra Hüller, Lionel Boyce, Ken Leung dan Milana Vayntrub.
Filem ini dijangka menjadi salah satu tarikan utama di pawagam pada tahun 2026 lebih-lebih lagi dengan populariti karya asal Andy Weir dan kejayaan filem terdahulu seperti The Martian yang turut diadaptasi daripada novelnya.
Skrip filem ini ditulis oleh Drew Goddard manakala barisan penerbit merangkumi nama-nama besar seperti Amy Pascal, Phil Lord, Christopher Miller, Aditya Sood dan Ryan Gosling sendiri.
Dengan gabungan cerita sains yang mendalam dan emosi kemanusiaan, Project Hail Mary dijangka mengulangi kejayaan adaptasi novel Weir yang lalu dan membuka lembaran baharu dalam genre fiksyen sains moden.