Fian Ali Tampil Dengan Dua Versi Lagu ‘Setia’, Sarat Emosi dan Makna
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Penyanyi muda berbakat, Fian Ali, kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Setia, sebuah balada emosional hasil ciptaan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38, Amir Jahari, dengan lirik nukilan bersama penulis prolifik, Datuk Ayu Puteh.
Lebih menarik, Setia hadir dalam dua versi yang berbeza – versi perlahan yang sarat dengan emosi dan versi rancak yang membawa sentuhan lebih segar, namun tetap mengekalkan inti pati kisahnya. Lagu ini turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) bagi drama bersiri popular TV3, Bukan Sekadar Lafaz 2.
Mengangkat tema kesetiaan dan pengorbanan dalam percintaan, Setia menggambarkan keteguhan hati dalam menghadapi dugaan. Menurut Fian, lagu ini bukan sekadar wadah untuk meluahkan kesedihan, tetapi juga simbol kekuatan dalaman.
“Sedih tak semestinya menangis, kan? Lagu ni lebih real,” katanya.
Namun, proses penghasilan lagu ini turut diwarnai cabaran apabila Fian terpaksa menangguhkan sesi rakaman pertama kerana masalah kesihatan. Nasihat daripada Amir Jahari menjadi titik tolak kepada kelahiran lagu ini.
“Amir pesan, suara tak semestinya kena perfect. Kalau dah ada rasa, itu yang penting. Baru sedap dan sampai,” ujar Fian.
Amir Jahari pula mengakui Setia sememangnya dicipta khas untuk Fian, menggambarkan personaliti penyanyi itu yang dilihatnya sebagai sopan, beradab dan tegas.
“Bila dengar suara dia, saya terus rasa lagu ni mesti ada dua versi. Ilham datang semasa saya berada di Yogyakarta,” kongsi Amir.
Sebagai salah satu wajah baharu yang kian menyerlah dalam industri muzik tempatan, pelancaran Setia dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh portfolio seni Fian Ali.
Lagu ini kini boleh dinikmati di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.