Ikuti Kami:

FFM34 Sasar Kandungan Progresif, Perkenal Anugerah Baharu Untuk Stunt Terbaik

FFM34 Sasar Kandungan Progresif, Perkenal Anugerah Baharu Untuk Stunt Terbaik

Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) memperlihatkan anjakan baharu dalam landskap perfileman negara apabila secara rasmi memperkenalkan kategori Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik, sebagai pengiktirafan kepada kru aksi dan stunt yang semakin memainkan peranan penting dalam pembikinan filem tempatan.

Perkara itu diumumkan dalam satu sidang media pada Selasa lalu, yang menyaksikan pelancaran rasmi FFM34 oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching.

Pelancaran tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan industri kreatif termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Encik Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Hans Isaac; dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib.

Dengan tema “Karya Kreatif, Sinema Dinamik”, edisi kali ini menekankan usaha untuk memacu kandungan yang lebih segar, progresif dan mencabar norma konvensional, seiring dengan kemajuan teknologi dan cerminan realiti sosial semasa.

Menurut Teo, penambahan kategori baharu itu mencerminkan kesungguhan pihak penganjur untuk mengiktiraf keseluruhan aspek dalam produksi filem, termasuk profesionalisme dan keselamatan dalam babak aksi yang semakin kompleks.

“FFM34 menyasarkan kandungan yang lebih segar dan progresif. Pengenalan kategori baharu ini bukan sahaja mengiktiraf stuntman dan koordinator aksi, tetapi juga menunjukkan bahawa sinema Malaysia bersedia ke tahap lebih tinggi dari sudut profesionalisme,” katanya.

Kategori baharu ini melengkapkan keseluruhan 30 kategori anugerah yang akan dipertandingkan dalam FFM34. Ia juga selari dengan peningkatan ketara nilai produksi dan mutu tontonan filem aksi tempatan, yang kini mendapat tempat dalam kalangan penonton arus perdana.

Festival anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ini bakal berlangsung pada 8 November 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, dan akan disiarkan secara langsung menerusi RTM dari jam 8.30 malam hingga 11.30 malam, dengan acara karpet merah bermula 7.30 malam.

Penyertaan dibuka dari 8 Julai hingga 18 Julai 2025, dan maklumat lanjut termasuk garis panduan pertandingan boleh dirujuk di laman rasmi https://ffm.finas.my.

Dengan pendekatan lebih inklusif dan progresif, FFM34 dijangka menjadi platform penting dalam mengiktiraf karya-karya bermutu tinggi serta memperkasakan industri filem tempatan ke peringkat lebih cemerlang.

Foto Oleh: FINAS.

Komen
Loading...