FFM33 Rai 95 Pencalonan, Hadiah RM500,000 Menanti Filem Terbaik
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) bertemakan “EMAS – Evolusi Sinema Malaysia” bertujuan mengiktiraf bakat tempatan dan pencapaian filem Malaysia di peringkat antarabangsa dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil malam semalam.
Sebanyak 104 penyertaan diterima, dengan 95 pencalonan layak bertanding merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek, dan 11 filem dokumentari.
Pemenang dalam 27 kategori utama akan membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi, manakala penerima Anugerah Khas menerima RM10,000 dan trofi. Hadiah paling berprestij, Anugerah Filem Terbaik, disertakan insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.
SENARAI KATEGORI UTAMA:
-
- Filem Terbaik
- Pengarah Terbaik
- Pelakon Lelaki & Wanita Terbaik
- Anugerah Khas Karyawan & Sepanjang Zaman
- Dokumentari Terbaik dan banyak lagi.
Program interaktif turut diadakan, termasuk Film Bizz, tayangan komuniti, dan bengkel profesionalisme. Selain itu, kerjasama dengan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) memperkenalkan forum seperti “Orang Muda dalam Perjuangan” dan “Trofi FFM Merubah Hidupku” di Datum Jelatek pada 23 dan 24 November 2024.
Malam anugerah FFM33, dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan sokongan Kementerian Komunikasi, akan berlangsung pada 7 Disember 2024 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, dan disiarkan secara langsung melalui TV2 RTM dan saluran YouTube FINAS bermula jam 8.00 malam dengan acara karpet merah.
Malam anugerah akan diacarakan oleh Dato’ AC Mizal dan Scha Alyahya, dengan persembahan daripada barisan artis ternama seperti Dayang Nur Faizah, Jaclyn Victor, dan Aina Abdul.