Ikuti Kami:

Festival Tentang Cinta Gegar Sabah Ogos Ini: Andmesh, Ziva & Bintang Tempatan Bersatu di SICC

Festival Tentang Cinta Gegar Sabah Ogos Ini: Andmesh, Ziva & Bintang Tempatan Bersatu di SICC

Gabungan barisan artis popular dari rantau Asia Tenggara dan bintang tempatan bakal menyemarakkan pentas Sabah International Convention Centre (SICC) menerusi Festival Tentang Cinta yang dijadual berlangsung pada 9 Ogos ini.

Konsert berskala besar anjuran Extreme Visionary Venture dengan kerjasama Tourism Malaysia itu menampilkan barisan penyanyi terkenal seperti Andmesh dan Ziva Magnolya dari Indonesia, selain selebriti tanah air seperti Hael Husaini, Ara Johari serta dua bintang kelahiran Sabah, Adira dan Mary Grace.

Menurut Penerbit Konsert, Dato’ Suhaila Semaru, penganjuran Festival Tentang Cinta bukan hanya bertujuan menghiburkan, malah menjadi pemacu kepada pembangunan industri hiburan dan pelancongan negeri.

“Festival ini lahir daripada semangat untuk menyatukan cinta dan muzik dalam satu pengalaman bermakna. Kami mahu menjadikan Sabah sebagai destinasi hiburan yang dinamik, sambil memperkenalkan bakat-bakat tempatan kepada penonton lebih luas,” katanya.

Andmesh yang popular dengan lagu-lagu cinta yang sarat emosi bakal mempersembahkan lagu-lagu hits yang digemari ramai, manakala Ziva Magnolya, bintang tempat ketiga Indonesian Idol Musim Ke-10, bakal memukau peminat dengan gaya vokalnya yang unik dan penuh penghayatan.

Ziva sebelum ini pernah mencuri perhatian antarabangsa apabila dijemput berduet oleh penyanyi Jeremy Passion di Ramadhan Jazz Festival 2019.

Beliau turut meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Musik Indonesia, dan beberapa singlenya seperti Terlukis Indah dan Peri Cintaku menerima sambutan luar biasa di Indonesia dan Malaysia.

Tidak ketinggalan, penyanyi popular tanah air seperti Hael Husaini dan Ara Johari dijangka memberi persembahan mantap, manakala Adira dan Mary Grace mewakili kebanggaan Sabah dengan bakat luar biasa yang kian mendapat tempat di peringkat nasional.

Festival ini turut mendapat sokongan Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd. serta platform jualan tiket rasmi Ticket2U. Ia juga menjadi salah satu inisiatif Tourism Malaysia dalam memperkasa pelancongan domestik menerusi penganjuran acara berskala besar.

Penonton boleh mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.my bermula 9 Mei, dengan harga tiket yang ditawarkan bermula daripada RM158 hingga RM988, mengikut kategori pilihan.

Penganjur menjanjikan susun atur tempat duduk yang bertemakan cinta untuk memberi pengalaman yang lebih menyentuh emosi dan berbeza daripada konsert biasa.

Orang ramai dijemput hadir dan bersama-sama meraikan cinta melalui irama dan persembahan istimewa dalam Festival Tentang Cinta yang bakal mengangkat nama Sabah sebagai destinasi hiburan serantau.

Komen
Loading...