Ikuti Kami:

Festival Seni Warisan Anak MADANI 2025 Platform Kukuh Didik Anak Cintai Budaya Malaysia

Festival Seni Warisan Anak MADANI 2025 Platform Kukuh Didik Anak Cintai Budaya Malaysia

Festival Seni Warisan Anak MADANI 2025 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan La Salle, Brickfields, mencipta suasana penuh warna-warni dan semangat perpaduan apabila pelajar pelbagai kaum bersama-sama meraikan keindahan seni serta budaya warisan negara.

Program selama dua hari itu (11–12 Oktober) dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Sinaran Matahari Kuala Lumpur/Selangor (PKSM) dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg Datuk Rajah Symon, Pengerusi MIC Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang turut meluangkan masa berinteraksi bersama pelajar dan menyaksikan pelbagai persembahan berunsur seni serta warisan tempatan.

“Program seperti ini boleh membawa kesedaran kepada anak-anak remaja kita. Saya lihat budak-budak sekolah ini pun sangat gembira dapat hadir. Sejak merdeka, semangat silaturahim antara kaum amat penting untuk kita teruskan. Melalui festival seperti ini, kita dapat mengeratkan hubungan rakyat dan menunjukkan keharmonian tiga kaum utama di Malaysia,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar PKSM memperluas penganjuran festival ini ke peringkat lebih besar seperti di Dataran Merdeka, dengan menampilkan hidangan tradisional masyarakat Melayu, India dan Cina secara langsung bagi menarik pelancong tempatan serta antarabangsa.

“Saya galakkan persatuan ini panjangkan permohonan kepada DBKL. Saya sendiri akan bantu mendapatkan kelulusan kerana program sebegini mampu memperkenalkan kekayaan budaya Malaysia kepada dunia,” ujarnya.

Menurut Ketua Publisiti dan Program PKSM, Puan Suraya Rahman, festival ini menjadi platform penting dalam membentuk generasi muda yang menghargai budaya dan warisan negara.

“Kami percaya pendedahan awal terhadap seni dan warisan dapat membentuk anak-anak yang berjiwa bangsa, berdisiplin serta menghargai kepelbagaian budaya negara,” katanya.

Antara persembahan menarik yang mencuri perhatian termasuk Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, demonstrasi Wushu Taijiquan oleh Persatuan Dong Bei Bei, persembahan Seni Silambam, tarian oleh Artis Cilik Setiawangsa, serta persembahan bertenaga daripada MJ Dance Troupe.


Pihak PKSM turut merakamkan penghargaan kepada MOTAC dan Unit GSKK atas sokongan berterusan dalam memperkasakan inisiatif seni serta kebudayaan komuniti.

PKSM menegaskan komitmen untuk terus menjadi jambatan antara masyarakat, kebajikan dan budaya ke arah pembentukan Malaysia MADANI yang sejahtera dan berbudaya tinggi.

Komen
Loading...