Susulan kejayaan edisi pertama pada Oktober 2022, “OKU FEST 2.0” festival kembali dengan pelbagai aktiviti menarik untuk meraikan bakat dan keunikan komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) yang akan berlangsung pada 30 November dan 1 Disember 2024 di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Dataran Merdeka, dari jam 10 pagi hingga 8 malam.
Festival ini dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), serta rakan strategik seperti Malaysian Association for the Blind (MAB), Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), dan Dyslexia Genius.
Dengan tema “My Ability is Stronger Than My Disability”, festival ini bertujuan membuktikan bahawa kekurangan bukanlah penghalang, tetapi kekuatan luar biasa yang wajar diterokai dan diraikan.
Turut memeriahkan acara ini ialah selebriti seperti Radhi Kahlid, Rozita Rohaizad, dan Mel, selain pameran seni yang menampilkan hasil karya komuniti OKU dalam pelbagai bidang seperti muzik, kraf, dan seni visual.
Festival ini terbuka secara percuma kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang. Pengunjung digalakkan hadir untuk menyokong rakan-rakan istimewa dan menyaksikan keindahan seni yang dipersembahkan.
Majlis ini akan dirasmikan oleh YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob, Ahli Dewan Negara yang mewakili komuniti OKU.
Festival ini menawarkan pelbagai aktiviti yang menonjolkan bakat dan minat komuniti OKU, termasuk:
– Pertandingan Canting Batik untuk kanak-kanak autisme dengan hadiah wang tunai
– Persembahan OKU Jam menampilkan bakat seperti Rizwan dan Lan Taroo, persembahan khas oleh Amal AF/Ex-OAG serta kumpulan muzik ska Reloveution
– Sesi forum bertajuk “Autism Adalah Superpower!” yang menampilkan YB Altimet, seorang individu dyslexia dan ADUN Lembah Jaya, sebagai panelis
– Kemuncak festival pada hari kedua termasuk OKU Fest Idol dan Bengkel KL Street Artist, iaitu program khas pengambilan permit seniman jalanan untuk warga OKU.
Untuk individu OKU yang berminat menyertai program ini, untuk maklumat lanjut sila layari laman web https://www.karyawan.my/
“OKU FEST 2.0” adalah peluang untuk kita bersama-sama meraikan bakat luar biasa komuniti istimewa ini.
Kekurangan bukanlah penghalang, tetapi pemangkin kepada kejayaan!