Ikuti Kami:

Festival Kimchi 2025: Menyelami Budaya dan Rasa Korea di The Curve

Festival Kimchi 2025: Menyelami Budaya dan Rasa Korea di The Curve

Peminat makanan, pencinta budaya dan keluarga berpeluang merasai sendiri keaslian kimchi, hidangan tradisional Korea yang terkenal di seluruh dunia, menerusi Festival Kimchi 2025 yang berlangsung dari 8 hingga 16 November di K PLUS Food Market, The Curve, Mutiara Damansara.

Festival ini dianjurkan oleh Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation (aT), sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (MAFRA) Republik Korea, dengan kerjasama KMT Food & Beverage Sdn. Bhd., bertujuan mengeratkan hubungan budaya dan gastronomi antara Korea dan Malaysia.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif bagi mempromosikan kepelbagaian, kepakaran dan manfaat kesihatan kimchi asli Korea.

Pengerusi dan Pengasas KMT Group of Companies, Datuk Matthew Lee, berkata festival ini diadakan sempena ulang tahun ketiga K-Plus Food Market di Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa idea penganjuran ini adalah untuk memperkenalkan kimchi dan budaya K-Food kepada masyarakat tempatan.

Pengerusi dan Pengasas KMT Group of Companies, Datuk Matthew Lee.

“Kami telah membuka pasar makanan K-Plus di sini selama tiga tahun, dan sempena ulang tahun ketiga, kami ingin lebih ramai orang tahu tentang kimchi. Saya percaya K-Food kini terkenal di seluruh dunia, dan kimchi adalah salah satu hidangan Korea yang paling terkenal.

“Orang Korea makan kimchi hampir setiap hari, dan ia merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Hari Kimchi diraikan setiap 22 November, dan pada bulan itu kami menjemput pakar kimchi dari Korea untuk berkongsi cara sebenar pembuatan tradisional,” kata beliau.

Beliau menekankan bahawa festival ini bukan sekadar membuat dan menjual kimchi, tetapi juga berkongsi pengalaman budaya antara Korea dan Malaysia.

Datuk Matthew turut menjelaskan bahawa K-Plus menganjurkan pelbagai acara hampir setiap bulan, tetapi penganjuran pada bulan November dinamakan sebagai “Kimchi Day”, menampilkan pelbagai jenis kimchi dengan sayuran, sos dan teknik pembuatan berbeza.

Pengarah aT Center Kuala Lumpur, Mr. Chang Chung Ho.

Dalam pada itu, Pengarah aT Center Kuala Lumpur, Mr. Chang Chung Ho, berkata bahawa festival ini bukan sekadar menjual produk, tetapi juga menghubungkan pengunjung dengan budaya Korea melalui aktiviti interaktif dan pendedahan kepada makanan halal.

“Kami mempunyai gerai untuk menjual produk dan berinteraksi dengan pengunjung. Banyak orang datang dan mendengar tentang produk, tetapi mereka ingin tahu lebih lanjut.”

“Jika mereka ingin mengetahui apa-apa tentang makanan Korea atau budaya Korea, mereka boleh datang ke K-Plus dan bertanya, atau menyertai kelas bahasa Korea dan aktiviti lain. Kami sentiasa bersedia untuk berkongsi budaya Korea dengan rakyat Malaysia,” katanya.

Pengarah aT Center Kuala Lumpur, Mr. Chang Chung Ho (kanan) turut menyertai Kelas & Demonstrasi Pembuatan Kimchi.

Datuk Matthew Lee turut menjelaskan mengenai kepentingan pensijilan halal bagi produk Korea di Malaysia.

“Pada mulanya, tidak ramai yang sedar tentang halal di Korea. Saya telah tinggal di Malaysia lebih 30 tahun dan memahami kepentingan halal untuk masyarakat Muslim. Oleh itu, saya mula memperkenalkan pensijilan halal kepada industri makanan Korea lebih 10 tahun lalu.”

“Hari ini, kebanyakan produk Korea, termasuk kimchi, telah mendapat pengiktirafan halal daripada Jakim. Semua pelanggan Muslim kini dapat menikmati produk halal Korea. Kami juga menghasilkan kimchi secara tempatan dengan bahan halal bagi memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Sepanjang sembilan hari penganjuran, pengunjung dapat menelusuri dunia kimchi melalui demonstrasi langsung, kelas interaktif, pameran dan program kebudayaan.  Antara tarikan utama termasuk:

Kelas & Demonstrasi Pembuatan Kimchi – Dikendalikan oleh Madam Yoo Jung Im, First Certified Kimchi Master dari Korea yang berkongsi rahsia resipi tradisional dan falsafah dalam menghasilkan kimchi berkualiti tinggi.

Pameran & Sesi Rasa Kimchi Korea – Menampilkan pelbagai jenis kimchi premium dengan bahan asli dari Korea yang boleh dirasai dan dibeli pada harga promosi.

Zon Interaktif Budaya Kimchi – Memaparkan sejarah kimchi dari kaedah pengawetan tradisional hingga pengiktirafannya sebagai makanan super global yang kaya probiotik dan antioksidan.

Selain di The Curve, KMT juga akan meneruskan promosi kimchi di seluruh negara melalui kerjasama dengan rangkaian pasar raya utama termasuk Zai Grocer, Isetan KLCC, Seibu TRX sehingga 23 November 2025, bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati rasa autentik kimchi Korea.

Komen
Loading...