Festival “Hari Rock Negara” Gegar Warisan Hall Sijangkang 15 Jun Ini
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Hari Rock Negara yang akan berlangsung pada 15 Jun ini di Warisan Hall, Sijangkang bukan sekadar pesta muzik, ia adalah satu acara besar yang menghargai sejarah dan semangat muzik rock Malaysia sejak era 60-an.
Festival ini dianjurkan oleh Chenta Relektro dengan kerjasama Warisan Hall Studio, kini sudah masuk edisi keenam sejak mula diadakan di Cyberjaya pada tahun 2022.
Tahun ini, ia hadir dengan skala lebih besar dan tujuan lebih mendalam, untuk menyatukan generasi, membantu ekonomi komuniti dan mengangkat semula identiti muzik rock tempatan.
Lebih 80,000 orang dijangka hadir ke festival ini yang akan memberi kesan ekonomi melebihi RM1 juta, melibatkan sektor hotel, pengangkutan, makanan dan pelancongan di Klang, Shah Alam, Banting dan kawasan sekitar Selangor.
Wakil penganjur dari Chenta Relektro, Rahmat Ali, berkata festival ini bukan sekadar hiburan.
“Kami buat acara ini untuk menyatukan komuniti, menghidupkan semula kenangan, dan membuktikan muzik rock masih hidup. Ia bukan sejarah yang tertulis dalam buku, tetapi dalam jiwa rakyat,” katanya.
Beliau juga berharap festival ini dapat mendidik anak muda tentang akar budaya muzik rock dan pada masa yang sama memberi ruang kepada generasi lama untuk kembali mengingati detik-detik penting dalam hidup mereka.
“Kami mahu semua orang yang hadir rasa dihargai. Sama ada mereka artis, penjual makanan, peminat setia, atau yang baru mahu kenal muzik rock. Ini ruang kita semua,” katanya lagi.
Festival ini akan menampilkan nama-nama besar seperti Kugiran Di Tepi Pantai, Copero X, Zulkif Headwind, Pramaya, KLJM dan Blind Jockers yang akan membawa semula zaman kegemilangan muzik rock Malaysia.
Lebih 6,500 orang terlibat secara langsung dalam festival ini, termasuk artis, peniaga, kru teknikal, pengusaha trak makanan, pemilik motosikal klasik dan peminat muzik dari seluruh negara.
Segmen khas Retromania akan menghimpunkan motosikal-motosikal klasik bersama pemiliknya yang berkongsi minat terhadap gaya dan warisan zaman dahulu.
Festival ini dijangka menjadi tempat pertemuan antara generasi lama dan baru. Ia bukan saja tentang muzik, tetapi tentang semangat yang terus hidup dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.