Ikuti Kami:

Festival Cita Rasa Warisan @ Kuala Lumpur Meriah, Angkat Martabat Makanan Tradisi

Festival Cita Rasa Warisan @ Kuala Lumpur Meriah, Angkat Martabat Makanan Tradisi

Lebih 30 gerai makanan tradisional dari 14 negeri termasuk Sabah dan Sarawak menghiasi Festival Cita Rasa Warisan @ Kuala Lumpur sempena Festival Budaya Malaysia 2025 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, bermula 12 hingga 16 September ini.

Acara lima hari itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, jam 8 malam dengan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Timbalan Menteri, Menteri Wilayah serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan dif kehormat.

Menurut Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara Jabatan Warisan Negara (JWN), Dr. Eyo Leng Yan, festival ini menjadi destinasi keempat selepas dianjurkan di Kedah, Tuaran Sabah dan Kota Bharu Kelantan sebelum berakhir di Pulau Pinang pada Oktober depan.

Beliau berkata, festival ini mengetengahkan kepelbagaian makanan warisan daripada pelbagai negeri, merangkumi nasi dagang, nasi kerabu, asam pedas, aneka kuih tradisional, serabai serta hidangan etnik seperti hinava, umai dan ambuyat.

“Festival ini bukan sekadar medan jualan tetapi platform untuk mempromosikan serta memartabatkan makanan warisan agar terus dikenali oleh generasi muda. Sambutan amat menggalakkan apabila banyak gerai habis terjual sejak awal petang, membuktikan minat tinggi masyarakat terhadap makanan tradisi,” katanya.

Dr. Eyo menambah, usaha mengetengahkan juadah lama yang semakin jarang ditemui seperti serabai, kuih dangai dan peknga adalah sebahagian daripada tanggungjawab JWN untuk memastikan khazanah makanan tradisi tidak pupus ditelan zaman.

“Kita mahu masyarakat sedar bahawa makanan warisan bukan sekadar hidangan, tetapi ia mewakili identiti, sejarah dan cerita rakyat yang diwarisi turun-temurun. Melalui makanan, kita boleh melihat kepelbagaian budaya Malaysia yang begitu kaya dengan kearifan tempatan,” ujarnya.

Selain jualan kulinari, festival turut dipenuhi dengan pelbagai pengisian menarik termasuk demonstrasi masakan, pameran kulinari warisan, program masak bersama guru, sesi inklusiviti bersama chef OKU serta sembang santai bertemakan Aroma Nostalgia.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertandingan kreatif seperti Teh Tarik King & Queen, Roti Canai Melayang, Roti Jala Jelita Jalur Gemilang, POV Cita Rasa Warisan serta cabaran dapur Kecoh Kecah Warisan.

Acara unik seperti Kenduri Kari Malaysia 68 dan Kenduri Roti Jala turut mewarnai penganjuran kali ini.

Bagi menghidupkan suasana, persembahan kebudayaan tradisional diadakan setiap malam dengan mengetengahkan tarian, nyanyian serta teater rakyat seperti Mek Mulung, Dikir Barat, Randai dan busker tradisional Mutra Muzika.

“Apabila masyarakat berkumpul di sini, mereka bukan sahaja menikmati makanan tetapi turut memahami makna di sebalik warisan itu sendiri. Inilah keistimewaan festival sebegini kerana ia menghubungkan rakyat dengan akar budaya dan pada masa sama memupuk rasa bangga terhadap identiti bangsa,” kata Dr. Eyo.

Festival Cita Rasa Warisan @ Kuala Lumpur, yang berkonsepkan tema Rasa Negeri dan Budaya, sekali gus menjadi platform meraikan keunikan kulinari serta warisan budaya Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Komen
Loading...