Ikuti Kami:

Festival Cipta Citra IV: 3 Hari Puisi, Muzik & Sastera Meriahkan Kuala Lumpur

Festival Cipta Citra IV: 3 Hari Puisi, Muzik & Sastera Meriahkan Kuala Lumpur

Festival Cipta Citra IV berlangsung dengan penuh meriah di Pavilion Exhibition Centre Bukit Jalil selama tiga hari tiga malam dari 21 hingga 23 Februari 2025.

Bersempena Hari Puisi Sedunia, festival ini menggabungkan seni puisi, muzik, dan sastera dalam sebuah acara yang menghimpunkan lebih 20 seniman dari Nusantara dan antarabangsa.

Pengarah festival, Umar Uzair, dalam ucapan alu-aluannya, mengalu-alukan kehadiran perwakilan dari Indonesia, Singapura, Turkiye, dan Rusia.

Malam pembukaan diserikan dengan persembahan Mek Mulung oleh Saiful Wazien dan petikan gambus sufi oleh Latif Bolat dari Turkiye, yang memberikan sentuhan antarabangsa kepada festival ini.

Festival ini turut menampilkan Ucap Utama Cipta Citra oleh Prof. Dr. Tan Awang Besar, Rektor Akademi Seni, Budaya & Warisan Kebangsaan, serta forum Ramu Puisi Rencah Sasterawan yang menghimpunkan tokoh sastera seperti Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan, editor prolifik Wirda Adnan, Hidayat Nordin dari Singapura, dan Datok Sri Asrizal Nur dari Indonesia.

Perbincangan dalam forum ini menyentuh pelbagai aspek dunia kesusasteraan moden, termasuk peranan media sosial sebagai platform baharu bagi sastera.

Pelbagai persembahan menarik mengisi malam kemuncak festival, termasuk Zaen Kasyturi dengan puisi bertemakan peperangan di Palestin, Shirley Idris dengan puisitari, Lin Haslinaz melalui monolog, serta Nutheyla Anwar yang diiringi pemain rebab ASWARA.

Umar Uzair turut menyampaikan rangkaian lagu puisi Balada Tengkujuh dan Hasrat Sang Enggang. Festival ini ditutup dengan penuh warna-warni menerusi tarian tradisional Kimaragang oleh kumpulan etnik Sabah yang dipimpin oleh Ony Latifah bersama Pengerusi Persatuan Kimaragang, Datin Marilyn Pamajah.

Festival Cipta Citra IV dianjurkan oleh Meja Poedjangga dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta kerjasama daripada Universiti Putra Malaysia, Akademi Seni dan Budaya Kebangsaan, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Penawar International Sdn. Bhd., Majalah WM, dan HYATT Place Hotel Bukit Jalil.

Menurut Umar Uzair, penganjuran festival kali ini lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya dan diharapkan dapat menarik perhatian kerajaan dalam usaha memartabatkan puisi serta sastera kebangsaan sebagai elemen pelancongan negara.

Beliau juga menyatakan hasrat agar festival ini dapat menjadi sebahagian daripada kalendar rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026, memperkukuhkan lagi kedudukan seni puisi Melayu di peringkat global.

Komen