Festival Chopin MPO Sorot Keindahan Muzik Klasik Di Dewan Filharmonik Petronas
- oleh Mohd Indera
- 19 Jul 2025 1:39 pm

Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) terus memainkan peranannya dalam memartabatkan muzik klasik dengan menganjurkan Festival Chopin di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.
Festival ini diadakan dalam dua bahagian bagi mengangkat karya hebat komposer terkenal dunia, Frédéric Chopin, yang terus kekal relevan dalam dunia muzik hingga ke hari ini.
Bahagian pertama festival akan berlangsung pada 16 Ogos 2025 yang akan mempersembahkan Piano Concerto No.1 in E minor, karya romantik Chopin yang penuh ketenangan dan menyentuh emosi.
Karya ini pernah dipersembahkan buat pertama kali di Warsaw pada tahun 1830 ketika Chopin baru berusia 21 tahun. Pengarah Muzik MPO, Junichi Hirokami akan memimpin konsert ini, manakala pianis kelahiran Kuala Lumpur, Melody Quah, akan tampil sebagai solois.
Melody Quah yang kini mencipta nama di pentas antarabangsa pernah dipuji akhbar Vancouver Sun sebagai pianis yang mempunyai gaya permainan penuh emosi dan kekuatan luar biasa.
Beliau pernah membuat persembahan di beberapa negara termasuk Kanada, England, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat, selain tampil bersama orkestra terkenal seperti Richmond Philharmonic dan Vancouver Symphony Orchestra.
Quah turut pernah mempersembahkan muzik sempena majlis pembukaan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Sukan Komanwel 1998 serta pembukaan Chopin Society Malaysia pada tahun 2002.
Selepas rehat, MPO akan mempersembahkan karya hebat Symphony No.5 in D minor ciptaan Shostakovich. Simfoni ini terkenal kerana susunannya yang dramatik dan kemuncaknya yang penuh emosi, dan kini dianggap antara karya penting dalam sejarah muzik orkestra.
Bahagian kedua Festival Chopin akan diadakan pada 11 Oktober 2025 akan menampilkan Piano Concerto No.2 yang juga hasil karya agung Chopin.
Pianis terkenal Martin Garcia Garcia akan tampil sebagai solois. Karya ini memerlukan kemahiran tinggi dan penghayatan mendalam daripada pemain piano.
Rune Bergmann akan bertindak sebagai konduktor untuk malam tersebut turut menyajikan Symphony No.2 hasil ciptaan Sibelius, sebuah karya yang sering dianggap antara kemuncak muzik romantik dari Eropah Utara.
Festival ini bukan sekadar menghimpunkan karya agung, malah menjadi platform memperkenalkan keindahan muzik klasik kepada generasi baharu selain meraikan warisan muzik yang kekal sepanjang zaman.
Harga tiket bermula dari RM229 hingga RM499 bagi tempat duduk Suite yang turut disertakan dengan hidangan ringan.
Maklumat lanjut mengenai konsert dan pembelian tiket boleh didapati menerusi laman rasmi MPO di www.mpo.com.my atau menerusi platform media sosial mereka.