Festival Balet anjuran Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) kembali menghiasi pentas Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC, Disember ini, menandakan penganjuran kali keempat selepas edisi 2013, 2016 dan 2018 yang mendapat sambutan menggalakkan.
Menutup Musim 2025 dengan penuh gaya, festival ini menampilkan keindahan persembahan daripada National Classical Ballet of Moscow, digabungkan dengan kepakaran muzik Stanislav Kochanovsky, konduktor Rusia yang kembali mengemudikan MPO di pentas berprestij DFP.
Minggu pertama festival bakal mempersembahkan karya abadi Swan Lake, balet klasik paling popular di dunia yang sinonim dengan watak penuh misteri, percintaan tragis dan alunan skor Tchaikovsky yang menggamit emosi.
Pertama kali dipentaskan pada 1877 di Bolshoi Theatre, Moscow, Swan Lake menjadi karya ikonik dalam sejarah balet dan muzik simfoni.
Persembahan dijadualkan pada 5 dan 6 Disember 2025, jam 8.00 malam. Namun, tiket yang sangat terhad mendorong MPO menambah satu persembahan tambahan pada 7 Disember 2025, jam 3.00 petang.

Stanislav Kochanovsky
Festival diteruskan pada minggu berikutnya dengan balet berunsur dongeng The Nutcracker, sebuah karya yang sinonim dengan musim Krismas dan digemari penonton seluruh dunia.
Persembahan berlangsung pada 12 dan 13 Disember 2025, jam 8.00 malam, menjanjikan pengalaman seni yang mengasyikkan dengan latar dunia fantasi bersalji dan penceritaan penuh magis.
Ditayangkan kali pertama pada 1891 di Mariinsky Theater, skor The Nutcracker sering dianggap antara karya terbaik Tchaikovsky, padat melodi memukau, harmoni indah dan orkestrasinya yang berwarna-warni.
Harga tiket bermula daripada RM329 (C Reserve), RM429 (B Reserve), RM519 (A Reserve), RM579 (Premium) dan Suite berharga RM639 atau RM699 termasuk sajian ringan. Tiket boleh didapati menerusi laman rasmi MPO di www.mpo.com.my.




