Ikuti Kami:

Festival AMK Indie 2025 Tunda Ke November

Festival AMK Indie 2025 Tunda Ke November

Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 (AMK Indie 2025) secara rasmi ditunda ke 29 hingga 30 November 2025 dengan lokasi kekal di Sepang International Circuit, susulan keputusan penganjur untuk memberi lebih masa memastikan kualiti penganjuran setanding jangkaan, selain menarik sokongan lebih kukuh daripada peminat muzik tempatan.

Menurut penganjur bersama, Westzone Entertainment, keputusan ini bukanlah bersifat pembatalan, sebaliknya satu langkah strategik bagi memastikan festival tersebut benar-benar mencapai standard penganjuran yang mereka sasarkan.

“Kami tidak batalkan. Kami hanya ubah tarikh. Sebab kami masih percaya dengan potensi muzik alternatif tempatan, dan kami tahu masih ada komuniti yang nak lihat scene ini terus hidup.

“Tapi realitinya, kami berdepan dengan banyak cabaran termasuk persaingan daripada konsert berskala besar lain dan ruang promosi yang terhad.

“Festival ini perlukan lebih masa untuk capai orang yang betul, tarik sokongan yang mencukupi dan beri pengalaman yang kami sendiri bangga nak persembahkan,” kata Pengarah Westzone Entertainment, Aiman.

Tambahnya, kekurangan sokongan daripada segelintir pihak termasuk aspek jualan tiket turut menjadi antara faktor penangguhan, namun pihak penganjur kekal optimis dan percaya komuniti peminat muzik alternatif tanah air tetap relevan.

Walaupun berpindah ke tarikh baharu, barisan 21 kumpulan muzik indie Malaysia yang dijadualkan membuat persembahan kekal seperti perancangan asal.

Penganjur turut memberi jaminan bahawa AMK Indie 2025 akan hadir dengan persembahan lebih kemas, pengalaman lebih bermakna serta penyampaian lebih tersusun bagi memenuhi jangkaan semua pihak yang memberi sokongan.

Penganjur juga menegaskan bahawa tiket yang telah dibeli kekal sah untuk tarikh baharu, manakala tiket versi terkini akan diberikan kepada pembeli menjelang acara. Harga tiket kekal serendah RM80 tanpa sebarang kenaikan.

Menurut Aiman, penukaran tarikh ini bukan sekadar soal logistik atau keuntungan, sebaliknya refleksi realiti penganjuran festival muzik tempatan yang memerlukan sokongan padu masyarakat.

“Kelangsungan hidup atau matinya sesebuah festival muzik sangat bergantung kepada sokongan daripada peminat tempatan. Tanpa komitmen sebenar khususnya kehadiran dan pembelian tiket usaha seperti AMK Indie 2025 tidak mampu bertahan.” katanya.

Sebagai komitmen kepada keterbukaan dan komunikasi dua hala, pihak penganjur akan mengadakan sesi siaran langsung soal jawab terbuka melalui media sosial rasmi bagi memberi penjelasan lanjut kepada peminat dan pembeli tiket.

Sesi siaran langsung itu akan diadakan pada Selasa, 15 Julai 2025, jam 8.00 malam di akaun rasmi @coactionmagic melalui TikTok, Instagram dan Facebook Live.

Semua peminat, pembeli tiket dan rakan media dijemput menyertai sesi ini bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan AMK Indie 2025.

Komen
Loading...