Feri Bawa 567 Penumpang Ke Langkawi ‘Tersangkut’, Tiga Lagi Terpaksa Berpatah Balik
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu
Sebuah feri membawa seramai 567 penumpang dalam perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi dilaporkan telah terkandas, menurut Sinar Harian.
Feri tersebut dipercayai tersangkut pada beting pasir, kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Perlis, pada Isnin.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr. Baharin Baharom, menjelaskan bahawa insiden ini berlaku akibat cuaca buruk yang melibatkan hujan lebat serta angin kencang.
Keadaan angin kuat tersebut telah menyebabkan feri terpesong dari laluannya yang asal, lalu tersangkut di kawasan beting pasir.
Namun begitu, Dr. Baharin mengesahkan bahawa semua penumpang feri yang berlepas dari terminal pada jam 2.30 petang berada dalam keadaan selamat.
”Ketika ini, kerja untuk memindahkan mangsa sedang diusahakan, bagaimanapun kami menghadapi kesukaran dan kami dibantu oleh Maritim Malaysia untuk lakukan pemantauan.
”Kerja pemindahan mangsa agak sukar kerana jumlah yang ramai bagaimanapun kita masih menunggu air laut pasang,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa pelayaran feri ke Langkawi dijangka akan disambung semula pada jam 8 malam.
Dalam pada itu, Dr. Baharin turut memaklumkan bahawa tiga trip feri dari Kuala Kedah ke Langkawi terpaksa berpatah balik akibat ribut.
Trip-trip tersebut melibatkan feri yang membawa 120 penumpang pada jam 1.30 tengah hari, 149 penumpang pada jam 2 petang serta feri dengan 410 penumpang yang berlepas pada jam 2.30 petang.