Ikuti Kami:

Fenomena GenKRU: Hari Ke-4 Ditambah Atas Permintaan Peminat!

Fenomena GenKRU: Hari Ke-4 Ditambah Atas Permintaan Peminat!

Konsert GENKRU yang telah berlangsung pada Sabtu, 3 Mei, dan Ahad, 4 Mei, dengan penuh kejayaan menerima sambutan hangat daripada ribuan peminat, kini kembali mencuri tumpuan dengan pengumuman mengenai penambahan satu hari lagi.

Icon Entertainment mengumumkan bahawa konsert GENKRU akan mengadakan Hari Ke-4 pada Ahad, 11 Mei 2025, selepas mendapat permintaan yang luar biasa daripada peminat setia KRU yang mahu menyaksikan trio kegemaran Malaysia itu sekali lagi.

Permintaan tersebut semakin memuncak di media sosial, di mana ramai peminat meluahkan keinginan mereka untuk menambah satu lagi malam konsert.

Dalam respons di Instagram Story, Iman Tang, Pengarah Icon Entertainment, sempat menulis, “Sabar jup, sedang diusahakan,” yang akhirnya membawa kepada pengumuman rasmi ini.

Tiket untuk Hari Keempat konsert GENKRU akan mula dijual pada Khamis, 8 Mei 2025, bermula jam 1 petang melalui laman web rasmi Ticket2u https://www.ticket2u.com.my/kruDay4.

Harga tiket bermula dari RM258 hingga RM588, dengan semua kategori adalah duduk (seated), memastikan keselesaan maksimum bagi para peminat yang ingin menikmati persembahan ini dalam suasana yang lebih teratur dan selesa.

Selain itu, tiket untuk Hari Ke-3 yang dijadualkan pada Sabtu, 10 Mei, juga sudah hampir habis terjual. Dengan hanya beberapa tiket berbaki, para peminat yang belum membeli disarankan untuk segera mendapatkan tiket mereka sebelum terlambat.

Seperti yang dijangkakan, konsert GENKRU Hari Keempat juga akan dipenuhi dengan kejutan istimewa. Antara yang menarik perhatian adalah kemunculan kumpulan Elite dan Adam AF, yang turut memeriahkan persembahan pada Hari Pertama dan Kedua.

Dengan penambahan Hari Keempat ini, GENKRU dijangka akan menutup siri konsert dengan penuh gemilang, memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh peminat setia KRU.

Komen
Loading...