Ikuti Kami:

Feminin Cetus Nostalgia Di Konsert GenKRU

Feminin Cetus Nostalgia Di Konsert GenKRU

Kemunculan semula kumpulan wanita popular era 90-an, Feminin, di pentas Konsert GenKRU yang berlangsung meriah di Axiata Arena malam Ahad mencetuskan suasana penuh emosi dan nostalgia dalam kalangan ribuan peminat yang hadir.

Walaupun hanya menampilkan tiga anggota asal As, Nora (Along) dan Watie persembahan ringkas kumpulan itu menerusi lagu ikonik “Untukmu” telah mengundang sorakan gemuruh dan turut menyentuh hati ramai penonton yang terimbau kenangan zaman kegemilangan muzik pop wanita tempatan.

Suasana dalam dewan bertukar menjadi syahdu seketika apabila alunan lagu tersebut bergema, menggamit kembali era awal 90-an yang menyaksikan Feminin menjadi pelopor muzik pop wanita sebelum kemunculan gelombang K-pop di rantau ini.

Rata-rata peminat yang hadir menyuarakan rasa tidak puas hati kerana Feminin hanya mempersembahkan satu lagu, malah ramai yang menyatakan hasrat agar kumpulan itu diberikan peluang untuk menganjurkan konsert berskala penuh.

“Terima kasih KRU dan Iman Tang bawa Feminin, tapi tak puas sebab hanya satu lagu,” luah seorang pengguna media sosial.

“Persembahan seiring usia, tak menari namun tetap ada ‘kelas’,” tambah seorang lagi, memuji karisma kumpulan itu walaupun tanpa koreografi rancak seperti dahulu.

Konsert yang berlangsung selama empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil, bukan sahaja mencetus fenomena, malah mencatat dua pencapaian luar biasa iaitu Most Show in a Single Concerts Series dan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour.

Pengiktirafan Most Show in a Single Concerts Series diberikan kepada KRU selepas mereka berjaya mengadakan persembahan selama empat malam berturut-turut pada 3, 4, 10 dan 11 Mei.

Konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment milik Iman Tang itu menyatukan ikon muzik era 90-an dan awal 2000-an dalam satu malam istimewa yang turut menampilkan nama-nama besar seperti Datuk AC Mizal, bekas anggota 4U2C, kumpulan Elite, Adam AF dan pelawak Abon.

Komen
Loading...