
Konsert genKRU bakal melabuhkan tirai dengan penuh kejutan apabila kumpulan wanita ikonik era 90-an, Feminin, dijadualkan membuat kemunculan khas pada malam terakhir konsert yang berlangsung esok, 11 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert genKRU yang dimulakan pada Hari Pertama, Sabtu, 3 Mei dan diteruskan pada Hari Kedua, Ahad, 4 Mei, telah menerima sambutan luar biasa daripada para peminat.
Persembahan bertenaga oleh trio adik-beradik KRU, Norman, Yusry dan Edry, yang kembali bersatu selepas tujuh tahun, telah mengembalikan semangat nostalgia muzik era 90-an ke dalam jiwa peminat.
Hari Ketiga berlangsung pada Sabtu, 10 Mei. Melihat kepada sambutan hangat tersebut, pihak penganjur menambah satu malam tambahan iaitu Hari Keempat pada Ahad, 11 Mei sebagai persembahan penutup konsert.
Penutup konsert ini dijangka menjadi malam paling istimewa apabila kumpulan Feminin tampil sebagai kejutan eksklusif buat para peminat.
Menurut penganjur konsert yang juga pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, penampilan Feminin adalah hadiah istimewa kepada peminat yang merindui kehadiran kumpulan wanita berpengaruh itu.
“Kami tahu anda rindu. Jadi kami bawakan Feminin sebagai satu bonus buat yang hadir esok. Sebuah kelainan untuk menambahkan lagi kerinduan kalian setelah konsert selesai,” katanya dalam kenyataan di Instagram rasmi penganjur pada Sabtu.
Feminin, yang ditubuhkan pada 1992, pernah menjadi antara kumpulan wanita paling berpengaruh dalam industri muzik tempatan dengan lagu hit seperti Untukmu.
Dianggotai oleh As, Watie, Deq Nor dan Yatie, kumpulan ini dikenali dengan gaya persembahan tersendiri dan telah mencipta impak besar dalam dunia hiburan tempatan.
Tiket untuk Hari Keempat dan terakhir konsert masih boleh didapati di https://www.ticket2u.com.my/kruDay4. Para peminat dijangka membanjiri Axiata Arena bagi menyaksikan malam penuh emosi, nostalgia dan kejutan.