Ikuti Kami:

Felai FX: Trader Gelap Angkat Isu Penipuan Kewangan Forex, Lakonan Terakhir Dharma Harun

Felai FX: Trader Gelap Angkat Isu Penipuan Kewangan Forex, Lakonan Terakhir Dharma Harun

Industri perfileman tanah air bakal digegarkan dengan kehadiran naskhah thriller aksi terbaharu, Felai FX: Trader Gelap – Apa Mau Takut, yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 30 April 2026.

Filem terbitan Teguh Setanding dengan sokongan Ampmoves Sdn. Bhd. ini bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya mengangkat isu sensitif yang sering menghantui masyarakat hari ini iaitu penipuan pelaburan forex dan manipulasi kewangan.

Apa yang menjadikan filem ini lebih istimewa dan meruntun jiwa adalah penglibatannya sebagai karya terakhir pelakon veteran tersohor, Dharma Harun Al Rashid.

Kehadiran beliau dalam filem ini dianggap sebagai satu penghormatan (tribute) terbesar terhadap legasi seni yang ditinggalkannya.

Pengarahnya, Zamri Zakaria mendedahkan bahawa pemilihan pelakon veteran, Dharma Harun Al Rashid dalam naskhah ini berlaku secara tidak sengaja namun tepat berdasarkan karisma yang dimiliki seniman itu.

“Selepas skrip filem ini siap, kita buat analisis watak dan casting dahulu. Menariknya, arwah Dharma Harun pada asalnya hanya datang menemani anaknya Syafiq untuk sesi ‘casting’, namun setelah kita melihat karisma dan karakter dia, kita terus tawarkan watak ‘Bron’ itu kepadanya.” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana di TGV Indulge, KLCC, di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai cabaran mengarah filem sulung, Zamri menzahirkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas sokongan dana yang diberikan dan juga mengakui tanggungjawab besar dalam mengimbangi elemen komersial dan mesej dakwah.

“Kita berkolaborasi dengan produksi besar Indonesia, Cinema Art, jadi cabarannya adalah untuk memberikan yang terbaik buat kedua-dua negara. Saya juga meminta bantuan pakar untuk melakukan ‘research’ terperinci tentang hukum-hukum agama yang dipaparkan dalam filem ini. Kita tak nak salah fakta, terutamanya melibatkan isu fatwa,” katanya lagi.

Pelakon utama, Isyariana, yang menggalas watak Qistina mengakui peranan kali ini sangat mencabar memandangkan beliau perlu menterjemahkan sisi gelap seorang penipu kewangan yang sering dibenci masyarakat.

“Memang satu cabaran besar bagi saya untuk membawakan watak seorang scammer kerana semua orang sakit hati dengan mereka. Saya perlu kaji bagaimana mereka bekerja dan bagaimana rasanya apabila berjaya mendapat duit dengan cara sebegitu.

“Rupa-rupanya ada satu perasaan ‘seronok’ menjadi scammer ini iaitu perasaan tidak peduli langsung tentang masalah orang lain asalkan kita dapat duit. Saya terpaksa ambil perasaan itu, keseronokan mendapat duit walaupun hakikatnya ia adalah haram,” kongsi beliau mengenai proses pendalaman wataknya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan pelakon Indonesia, Isyariana menyifatkan proses tersebut sangat mudah kerana sikap terbuka kedua-dua pihak.

“Alhamdulillah, saya sejenis yang mudah bergaul. Kita saling bertukar pendapat dan bertanya antara satu sama lain, jadi bila masuk ke set penggambaran, tiada masalah dan kami cepat dapat ‘chemistry’ itu,” tambahnya lagi.

Bagi memastikan kualiti visual mencapai standard global, produksi ini mendapatkan khidmat pengarah fotografi berpengalaman dari United Kingdom, Mike Muschamp sekali gus mengangkat kualiti produksi tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Selain Isyariana dan Arwah Dharma Harun Al Rashim filem ini turut membariskan pelakon hebat seperti Adjie Pangestu, Tsania Marwa, Azrel Ismail, Noorkhiriah, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, dan Zaryn Min.

Filem ini akan mula menggegar pawagam seluruh Malaysia bermula 30 April ini.