Feby Putri Kembali Gegarkan ZeppKL Julai Ini dengan Konsert “Hitam Putih”
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Penyanyi muda berbakat besar dari Indonesia, Feby Putri, bakal kembali menghiburkan peminat setianya di Malaysia menerusi konsert terbaharunya yang diberi nama “FEBY PUTRI Vol.3, HITAM PUTIH Live in Kuala Lumpur” pada 19 Julai 2025 (Sabtu), jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Kehadiran Feby kali ini merupakan penampilan ketiganya di pentas Malaysia selepas kejayaan besar pada konsert sulungnya di sini pada 2023, serta persembahan tahun lalu yang menyaksikan peminat mula beratur seawal jam 2 petang demi mendapatkan tempat terbaik di zon hadapan.
Konsert kali ini dijangka lebih istimewa apabila Feby bakal mempersembahkan rangkaian lagu daripada album sulungnya “RIUH” serta karya-karya terbaharu dari album keduanya “Hitam Putih”.
Album tersebut mencerminkan perjalanan hidup penuh makna buat penyanyi berusia 25 tahun ini, yang menggambarkan pelbagai sisi kehidupan — manis dan pahit — dalam bentuk lirik jujur dan aransemen muzik yang menyentuh emosi.
Hitam Putih adalah simbol kepada warna kehidupan yang dilalui Feby sejak beliau mula merantau, sekaligus menjadi refleksi peribadi dalam setiap karya yang ditampilkan dalam konsert kali ini.
Tiket konsert ditawarkan pada harga antara RM159 hingga RM359, bergantung kepada kategori pilihan. Turut disediakan ialah pakej Meet & Greet berharga RM179 yang merangkumi sesi eksklusif bersama Feby dan barangan cenderahati istimewa.
Konsert ini dianjurkan oleh Miebird Projects, dengan kerjasama produksi dari Blackcat Asia, tiket boleh didapati menerusi laman rasmi www.ilassotickets.com/febyvol3.