Fazura Reka Sendiri 51 Koleksi Eksklusif FAZURA X JAKEL
- oleh MDaily Editor
- 23 Jan 2026 1:05 am
Ikon fesyen dan pelakon popular, Fazura, membuktikan kredibilitinya dalam dunia rekaan apabila tampil menghasilkan sendiri 51 rekaan eksklusif menerusi kolaborasi sulung bersama gedung tekstil gergasi, Jakel.
Koleksi yang diberi nama FAZURA X JAKEL itu dilancarkan dengan penuh gilang-gemilang dalam satu majlis pertunjukan fesyen berskala besar, Majlis Pertunjukan Fesyen Jakel Raya 2026 yang diadakan di Jakel Mall, Kuala Lumpur, semalam.
Acara yang cukup gah itu turut mencatatkan kehadiran lebih 1,000 tetamu jemputan termasuk barisan pempengaruh (influencer) serta instafamous terkenal tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata kolaborasi ini merupakan sebahagian daripada transformasi tahun ke-40 syarikat itu yang kini bergerak ke arah imej lebih dinamik dan bertenaga.
Beliau mendedahkan bahawa bukan mudah untuk menyunting Fazura memandangkan selebriti itu sangat teliti dan mempunyai jenama sendiri.
”Kita mengambil masa kira-kira tujuh hingga lapan bulan untuk meyakinkan Fazura. Kami sangat menghormati keputusan beliau, namun akhirnya berjaya memikat beliau untuk bekerjasama.
”Paling istimewa, sebanyak 51 desain yang diperkenalkan adalah rekaan khas oleh Fazura sendiri. Beliau terlibat secara langsung bagi memastikan kualiti kain dan konsep yang dibawa benar-benar unik serta ‘vibrant’ untuk Aidilfitri tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut.
Sementara itu, Fazura mengakui teruja apabila diberi peluang oleh Datuk Faroz dan keluarga Jakel untuk menterjemahkan cita rasa peribadinya ke dalam koleksi berskala besar itu.
Beliau mendedahkan bahawa keluarganya sememangnya pelanggan setia gedung tekstil tersebut sejak sekian lama, namun tidak menyangka hubungan itu kini bertukar menjadi kerjasama profesional.
”Sejujurnya, sudah bertahun-tahun keluarga Faz memang mendapatkan bekalan baju di Jakel. Alhamdulillah, tahun ini Allah hantarkan peluang ini dan Faz diberikan kepercayaan untuk mereka sendiri koleksi ini mengikut selera dan identiti Faz.
”Walaupun ia eksklusif dan berkualiti tinggi, Faz tetap memastikan harganya adalah ‘milik semua’. Para wanita boleh memilikinya dan para suami juga tidak perlu bimbang untuk berbelanja buat isteri mereka,” jelasnya.
Pertunjukan fesyen ini menjadi platform utama bagi memperkenalkan koleksi Raya terbaharu Jakel 2026, sekali gus menandakan transformasi baharu jenama tersebut dalam meraikan fesyen raya dengan pendekatan yang lebih segar, moden dan berimpak tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Pemasaran & Promosi, Jakel Trading Sdn Bhd, Muzaffar Jakel, penganjuran Jakel Fenomena Raya 2026 adalah satu detik bersejarah buat syarikat itu.
“Selepas lebih 40 tahun Jakel berada dalam industri, ini adalah pertama kali kami menganjurkan pertunjukan fesyen berskala besar. Jakel Fenomena Raya 2026 bukan sekadar memperkenalkan koleksi baharu, tetapi menjadi simbol evolusi dan aspirasi kami dalam mengangkat fesyen Raya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Pertunjukan fesyen ini turut diserikan dengan kehadiran barisan duta utama Jakel Raya 2026, yang terdiri daripada selebriti dan personaliti terkenal tanah air, iaitu Nabil Ahmad dan famili, Achey dan famili, Senario, Cik Epal & Ammar, Elly Mazlein, Kamal Adli dan Que Haidar.

Selain itu, Jakel turut memperkenalkan barisan duta Gen Z Jakel Raya 2026, sebagai usaha mendekati generasi muda dan pelanggan baharu. Antara duta Gen Z terbabit ialah Lorenzo Irmann, Ara Bella Ellen, Zarif Ghazi dan Bella Dowanna.
Pada masa sama, Jakel turut mengumumkan pelancaran JAKEL PRA-RAMADAN SALE, yang akan berlangsung bermula 23 Januari hingga 18 Februari ini, bersempena pengenalan Koleksi Raya 2026.




