Ikuti Kami:

Fazura Lancar Lagu ‘Luar Biasa’ Bersama Ade Govinda, Dedikasi Khas Buat Arwah Bapa

Fazura Lancar Lagu ‘Luar Biasa’ Bersama Ade Govinda, Dedikasi Khas Buat Arwah Bapa

Pelakon dan penyanyi terkenal, Fazura, terus melakar nama dalam industri muzik apabila melancarkan lagu terbaharunya, Luar Biasa, hasil kolaborasi bersama pemuzik terkenal Indonesia, Ade Govinda.

Lagu yang penuh inspirasi ini didedikasikan khas untuk mengenang arwah bapanya, sekaligus memberikan sentuhan emosi yang mendalam kepada karya tersebut.

Dalam satu sesi tayangan eksklusif muzik video lagu tersebut bersama media di Aurum @ The Exchange TRX semalam, Fazura berkongsi bahawa lagu ini lahir daripada pengalaman peribadi serta perasaan rindu terhadap bapanya.

“Muzik video ini memang Fazz dedikasikan untuk arwah bapak. Kami sengaja melancarkannya bersempena Hari Bapa dan ulang tahun kelahiran beliau pada 17 Jun. Melihat paparan muzik video ini di skrin besar, ia sangat menyentuh perasaan dan penuh kenangan,” katanya.

Fazura menjelaskan bahawa lagu Luar Biasa bertemakan kejatuhan dan kebangkitan, memberikan mesej motivasi untuk terus melangkah ke hadapan meskipun diuji dengan pelbagai cabaran hidup.

“Jatuh itu biasa, bangkit itu luar biasa. Itulah mesej utama yang ingin saya sampaikan. Lagu ini bertujuan memberikan inspirasi kepada pendengar untuk tidak putus asa,” katanya.

Kolaborasi dengan Ade Govinda tercetus daripada cadangan Universal Music Malaysia. Hanya melalui satu sesi panggilan Zoom, mereka berjaya menghasilkan idea untuk lagu ini.

“Ade faham apa yang saya mahukan sebuah lagu yang mengangkat semangat walaupun kita pernah jatuh. Lirik dan melodinya sangat mengena hingga saya tidak perlu mengubah apa apa,” tambah Fazura.

Fazura turut menegaskan kepentingan menyampaikan mesej positif melalui muzik. Baginya, lagu lagu seperti Luar Biasa mampu menjadi penggerak semangat harian.

“Saya percaya muzik mempengaruhi emosi. Kita perlu memilih lagu yang boleh mengangkat semangat, bukan yang membuat kita tenggelam dalam kesedihan. Inilah sebab saya terus menghasilkan karya bermesej positif,” jelasnya.

Ade Govinda menjelaskan bahawa lagu ciptaannya ditujukan kepada mereka yang pernah melalui kejatuhan dalam hidup, dengan harapan ia menjadi sumber inspirasi untuk bangkit semula.

Lagu tersebut lahir dari hatinya dan diharapkan dapat membakar semangat pendengar dalam kehidupan seharian.

“Saya cipta lagu ini untuk semua insan yang pernah jatuh, agar mereka tahu bahawa bangkit itu lebih luar biasa daripada jatuh. Lagu ini datang daripada hati, dan saya mahu pendengar menjadikannya sebagai lagu pembakar semangat dalam rutin harian mereka,” ujar Ade Govinda, selaku komposer, penyusun, dan penerbit.

Lagu Luar Biasa menjalani proses adunan oleh Jones Roma dan proses mastering oleh Stephan Santoso, dua nama besar dalam industri muzik serantau. Hasil akhir lagu ini membawa bunyi moden yang kaya emosi, sesuai didengar oleh semua lapisan umur

Sesi tayangan semalam turut dihadiri oleh wakil Universal Music Malaysia, peminat dan rakan media.

Muzik video Luar Biasa menampilkan lakonan emosi yang menyentuh hati, dengan visual yang dirakam khusus untuk menggambarkan hubungan erat antara anak dan bapa.

Lagu Luar Biasa kini boleh didengar di semua platform digital, manakala muzik video rasmi tersedia di saluran YouTube Fazura.

Komen
Loading...