Fazura Dapat Hak Penjagaan Penuh Anak, Fattah Amin Diberi Hak Lawatan dan Bermalam
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Pelakon terkenal Fazura telah diberikan hak penjagaan penuh terhadap anaknya, Fatima, manakala bekas suaminya, Fattah Amin, diberikan hak lawatan dan bermalam mengikut persetujuan bersama yang dicapai di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa.
Perkara ini diumumkan oleh peguam mewakili Fattah, Syamimi Ab Rahman, selepas urusan merekodkan hak hadanah diselesaikan.
Menerusi persetujuan yang dicapai itu, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, dibenarkan bermalam dengan Fatima sebanyak dua kali sebulan serta lawatan tiga kali seminggu.
Menurut Syamimi, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyerahkan hak penjagaan kepada Fazura sebagai ibu kandung Fatima.
“Untuk terma lawatan, terdapat dua kategori iaitu lawatan bermalam dan lawatan harian,” jelas Syamimi. “Fattah diberikan hak untuk bermalam dengan Fatima sebanyak dua kali sebulan, bergantung kepada kelapangannya, di mana beliau boleh mengambil Fatima pada hari Jumaat dan memulangkannya pada hari Ahad.”
Manakala bagi lawatan harian tanpa bermalam, Fattah dibenarkan meluangkan masa bersama Fatima sebanyak tiga kali seminggu. Ketetapan ini bertujuan untuk memastikan Fattah tetap dapat memainkan peranan sebagai bapa dalam kehidupan Fatima meskipun hak penjagaan penuh diberikan kepada Fazura.
Fazura, ketika ditemui di mahkamah, melahirkan rasa syukur kerana kes hak penjagaan anaknya dapat diselesaikan secara baik. “Alhamdulillah. Saya tidak ada apa nak cakap, semuanya saya serah kepada peguam,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, peguam Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan, memaklumkan bahawa isu hak penjagaan atau hadanah ini sebenarnya telah dipersetujui lebih awal, sebelum proses perceraian berlaku.
“Sebenarnya tiada apa pun yang rumit. Segala urusan telah diselesaikan secara aman sebelum mereka bercerai,” katanya.
Fattah, yang ditemui selepas perbicaraan, enggan ditemu bual oleh pihak media dan memohon izin untuk segera pulang.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura yang mendirikan rumah tangga pada November 2017 itu sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lepas.