Pelakon terkenal Nur Fazura dan Fattah Amin telah menyelesaikan persetujuan mengenai ‘iddah dan nafkah anak selepas melalui proses perceraian bulan lalu.
Pasangan yang pernah digelar sebagai antara ikon cinta selebriti tanah air ini kini menamatkan urusan tersebut secara baik.
Peguam syarie Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan, memaklumkan bahawa urusan tersebut dijalankan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, hari ini.
“Ya, urusan merekodkan persetujuan berkaitan ‘iddah dan nafkah anak selesai hari ini. Rekod tersebut adalah seperti yang telah dipersetujui oleh mereka berdua dalam proses perceraian pada Oktober lalu,” katanya seperti dilaporkan KOSMO.
Terdahulu, Fazura dan Fattah disahkan bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu setelah Fazura memfailkan perceraian pada 13 September.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Fatima, yang kini berada di bawah jagaan Fazura.