Ikuti Kami:

Fauziah Latiff Bakal Gegar Plenary Hall KLCC 9 Mei Depan

Fauziah Latiff Bakal Gegar Plenary Hall KLCC 9 Mei Depan

Selepas empat dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, penyanyi ikonik, Fauziah Latiff, akhirnya bakal muncul dalam konsert solo berskala besar, 4 Decades Fauziah Latiff Live In Concert di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 9 Mei depan.

Konsert anjuran Ideatelier itu bukan sekadar persembahan muzik biasa, malah ia merupakan satu pengiktirafan buat perjalanan seni penyanyi yang lebih mesra disapa Jee itu sejak era 80-an.

Jee berkata, keputusan untuk kembali ke pentas mega selepas sekian lama menyepi bukanlah sesuatu yang mudah, namun keikhlasan penganjur telah membuka pintu hatinya.

“Saya menerima pelawaan ini kerana Ideatelier datang dengan niat yang sangat tulus untuk meraikan perjalanan 40 tahun ini dengan cara yang sangat ikhlas dan bermakna.

“Setelah sekian lama saya memilih untuk memperlahankan langkah, saya rasa inilah waktunya untuk kembali bertemu peminat dalam sebuah konsert yang benar-benar istimewa,” katanya pada majlis sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.

Lebih istimewa, tarikh 9 Mei dipilih bagi meraikan sambutan Hari Ibu, sekali gus mengangkat tema cinta dan inspirasi wanita dalam setiap bait lagu yang bakal dipersembahkan.

“Konsert ini jatuh hampir dengan Hari Ibu, ia satu momen yang sangat dekat di hati saya,” tambahnya lagi.

Mengenai pengisian malam tersebut, peminat bakal dihidupkan semula dengan memori lagu-lagu berhantu seperti Dia, Sekali Ini Saja, Teratai Layu Di Tasik Madu, Setia Ku Korbankan dan Menanti Di Ambang Syurga dengan susunan muzik baharu yang lebih segar.

Sementara itu, penganjur konsert yang juga pereka fesyen tersohor, Ezuwan Ismail, menegaskan beliau mahu memastikan konsert solo pertama Jee ini diletakkan pada standard tertinggi.

“Fauziah Latiff ialah sebuah nama yang dibina dengan aura bintang yang tidak pernah dipinjamkan daripada sesiapa. Kami mahu penonton pulang dengan kepuasan emosi dan pengalaman yang paling berkualiti,” ujar Ezuwan.

Antara yang mencuri tumpuan adalah kategori tiket Setiaku Korbankan (Super VIP) berharga RM6,999 yang menawarkan pengalaman eksklusif termasuk sesi Meet & Greet, makan malam istimewa, serta satu persalinan busana couture rekaan Ezuwan Ismail bernilai RM15,000 khusus buat 36 pembeli sahaja.

Tiket-tiket lain turut dijual pada harga bermula RM299 sehingga RM1,299 mengikut kategori zon yang dinamakan bersempena judul lagu-lagu popular beliau.

Tiket boleh didapati di https://www.ticket2u.com.my/

Komen
Loading...