Ikuti Kami:

Fauziah Ahmad Daud: Teater ‘Di Sebalik Topeng’ Dedah Realiti, Bukan Untuk Aibkan Sesiapa

Fauziah Ahmad Daud: Teater ‘Di Sebalik Topeng’ Dedah Realiti, Bukan Untuk Aibkan Sesiapa

Pelakon dan penerbit tersohor, Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy, menegaskan bahawa pementasan teater terbarunya, Di Sebalik Topeng, bukan bertujuan untuk mengaibkan sesiapa.

Sebaliknya, teater tersebut bertujuan untuk mengusik isu-isu semasa yang sering diperkatakan di media sosial dan mencerminkan realiti dalam masyarakat hari ini.

“Netizen kadang-kadang apa saja yang kita buat akan mendapat kecaman. Seperti dialog dalam teater ini, mereka suka ‘mengorek’ cerita.

“Apa saja yang saya lakukan, jika tidak ‘FYP’ (trending), saya kadang-kadang terfikir, apa sebenarnya cerita ini?” kata Ogy semasa majlis pra-tonton teater Di Sebalik Topeng di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

Ogy turut menjelaskan bahawa teater tersebut menyentuh isu-isu realiti tanpa mengaibkan sesiapa dan berharap mesej yang disampaikan dapat menyedarkan masyarakat mengenai impak negatif komen dan kritikan di media sosial.

“Saya hanya berharap teater ini boleh membuka mata mengenai kesan komen di media sosial yang kadang-kadang boleh menjatuhkan semangat seseorang.” katanya.

Teater Di Sebalik Topeng yang dipentaskan mulai hari ini hingga esok di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka menampilkan Ogy sebagai isteri kepada bekas tokoh politik yang menghadapi masalah kesihatan mental.

Selain Ogy, teater ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi, dan Ard Omar. Tiket Di Sebalik Topeng dijual pada harga RM54, RM104, dan RM154, dan boleh didapati melalui www.iLassoTickets.com.

Komen
Loading...