Fattah Amin Fokus Pada Tanggungjawab dan Kualiti Kerja, Akui Berat Susut
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Pelakon terkenal Fattah Amin berkongsi pendekatannya yang mementingkan kualiti dalam setiap komitmen kerjanya walaupun jadualnya padat sehingga Februari 2025.
Ketika ditemui di majlis Anugerah Sri Angkasa malam tadi, Fattah menegaskan bahawa pemilihan projek dibuat secara berhati-hati bagi memastikan setiap tanggungjawab dapat dipenuhi dengan baik.
Menurut Fattah, meskipun rezeki tawaran datang mencurah-curah, dia tidak menerima semua yang ditawarkan. Sebaliknya, setiap tawaran dikaji mendalam, terutamanya dari segi jenama dan komitmen yang diperlukan, untuk mengelakkan konflik pada masa akan datang.
Ini, katanya, adalah satu langkah penting bagi menjaga kepercayaan yang diberikan oleh pihak industri dan peminat.
“Saya tak ambil semua tawaran yang datang. Saya lihat dahulu apa yang diperlukan jenama dan komitmen yang mereka mahukan. Kalau produk lebih kurang sama, saya akan elak untuk elakkan masalah di kemudian hari,” jelasnya.
Pengurusannya turut memainkan peranan penting dalam memastikan Fattah hanya mengambil projek yang berkualiti dan relevan. Proses pemilihan ini, katanya, bukan sahaja memudahkan kerjanya tetapi juga membantunya mengekalkan hubungan profesional yang baik dengan rakan-rakan niaga dan peminat.
Fattah juga menyentuh tentang fizikalnya yang kelihatan sedikit susut, yang menurutnya disebabkan jadual kerja yang padat hingga kadang-kala mengganggu waktu makannya.
Namun, penurunan berat badannya masih dalam tahap terkawal, dan dia berusaha memastikan kesihatan tidak terabai walaupun sibuk.
“Memang nampak susut sedikit sebab kerja banyak, makan pun tak teratur. Tapi susutnya cuma dua hingga tiga kilogram sahaja,” katanya sambil tersenyum.
Fattah turut meluahkan rasa terharu atas sokongan serta doa yang tidak putus-putus diberikan oleh para peminat.