Ikuti Kami:

Fattah Amin Duta Baharu Minuman Tenaga Orang Kampung

Fattah Amin Duta Baharu Minuman Tenaga Orang Kampung

Syarikat herba tempatan tersohor, Orang Kampung Group (OK Group), mengumumkan pelantikan pelakon dan usahawan terkenal, Fattah Amin, sebagai duta rasmi bagi rangkaian produk minuman tenaga jenama Orang Kampung.

Pelantikan tersebut disifatkan sebagai langkah strategik dalam usaha memperkukuh jenama yang telah bertapak sejak tahun 1975 itu, khususnya dalam pasaran minuman tenaga tempatan dan serantau.

Sempena pelantikan itu, OK Group turut memperkenalkan varian eksklusif KF Limited Edition yang tampil dengan reka bentuk pembungkusan baharu.

Produk istimewa ini akan dipasarkan secara terhad di rangkaian stesen minyak PETRONAS Mesra, pasar raya Mydin serta beberapa platform e-dagang utama.

Menurut Pengarah Urusan OK Group, Datuk Habibul Ajmi Datuk Haji Manggar, imej positif dan gaya hidup sihat Fattah seiring dengan nilai yang dibawa oleh jenama Orang Kampung.

“Dengan imejnya yang bersih, berdisiplin dan aktif, Fattah mencerminkan nilai jenama kami. Malah, beliau juga berupaya menarik minat pembeli wanita yang merupakan segmen penting dalam pasaran pengguna,” katanya dalam sidang media pengumuman kerjasama tersebut.

Fattah, yang turut hadir dalam sidang media itu, meluahkan rasa bangga apabila dilantik sebagai duta kepada jenama yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak kecil.

“Ibu bapa saya memang pengguna setia produk Orang Kampung. Kini saya pula diberi peluang untuk mewakili jenama ini. Ia satu penghormatan besar buat saya,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa minuman tenaga tersebut amat sesuai untuk membantu dirinya mengekalkan kecergasan ketika menjalani jadual penggambaran yang panjang dan padat.

OK Group yang bermula sebagai syarikat pengeluar produk berasaskan herba tempatan seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah kini dikenali luas menerusi inovasi dalam minuman tenaga.

Produk mereka dikilangkan di fasiliti bertaraf MESTI, disahkan HALAL oleh JAKIM, dan memenuhi standard Kementerian Kesihatan Malaysia.

Antara varian utama yang ditawarkan ialah KF (Kacip Fatimah) yang dirumus khas untuk wanita, Longjack yang sesuai untuk semua, serta Longjack X bagi pengguna yang aktif dan memerlukan prestasi tenaga lebih tinggi.

Bukan sekadar mencipta nama dalam negara, OK Group kini melangkah ke pasaran antarabangsa termasuk Singapura dan Brunei.

Malah, syarikat itu turut merancang penembusan ke pasaran Eropah dalam masa terdekat, menyasarkan pengguna yang cenderung kepada produk tenaga semula jadi dan berasaskan herba.

Dengan kerjasama strategik bersama Fattah Amin, OK Group optimis untuk terus kekal relevan dan menjadi pilihan utama dalam kategori minuman tenaga, sambil memperluas pengaruhnya di peringkat global.

Komen
Loading...