Ikuti Kami:

Fattah Amin, Amira Othman Teraju Poskad Cinta Dari Istanbul di UTV

Fattah Amin, Amira Othman Teraju Poskad Cinta Dari Istanbul di UTV

Platform penstriman tempatan, UTV, terus mengukuhkan dominasinya dalam industri hiburan digital menerusi pelancaran Filem TV (FTV) terbaharu, Poskad Cinta Dari Istanbul.

Naskhah yang mula ditayangkan pada 29 April 2026 jam 9 malam ini merupakan sekuel kepada fenomena Poskad Cinta Dari Auckland yang pernah mencetuskan gelombang luar biasa dalam kalangan peminat seni tanah air.

Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Adzliana Hasan, menjelaskan bahawa kejayaan luar jangka naskhah pertama menjadi pemangkin utama untuk menerbitkan sekuel ini.

Menurut beliau, gandingan Fattah Amin dan Amira Othman sebelum ini telah memberi impak besar kerana ia ditayangkan hanya seminggu sebelum majlis pernikahan sebenar mereka di alam realiti.

“Melihat sambutan luar biasa itu, kami tampilkan Poskad Cinta Dari Istanbul sebagai kesinambungan. Kali ini, penonton dapat menyaksikan mereka sebagai pasangan suami isteri di layar, sesuatu yang sangat dinantikan peminat,” katanya.

Beliau juga memberi bayangan bahawa siri ‘Poskad Cinta’ ini mungkin akan diteruskan ke lokasi antarabangsa yang lain sebelum hujung tahun ini, bergantung kepada perkembangan jalan cerita.

Bagi pelakon utama, Fattah Amin, membawa watak Din dalam sekuel ini memberikan dimensi baharu memandangkan statusnya yang kini sudah sah bergelar suami kepada Amira Othman.

“Keserasian kami sudah terbentuk sejak di Auckland lagi. Namun, dalam naskhah kali ini, keserasian itu lebih kuat dan tidak lagi kekok (awkward) kerana kami memang sudah bergelar suami isteri,” ujar Fattah.

Meskipun penggambaran dilakukan dalam suasana romantis di Istanbul, Fattah mengakui cabaran utama adalah menahan emosi dan tawa akibat gelagat spontan pelakon pembantu seperti Bell Ngasri dan Sherry Alhadad.

“Kami antara pelakon yang paling tak tahan nak gelak. Bila ada babak bersama Abang Bell dan Sherry, mereka selalu keluar lawak spontan. Jadi kami pun terhibur sama seperti penonton,” tambahnya lagi.

Poskad Cinta Dari Istanbul mengisahkan kehidupan pasangan baharu, Mira dan Din, yang diuji apabila Mira menerima sekeping poskad misteri dari Istanbul bertanda huruf “E”.

Perjalanan mereka ke Turki bukan sekadar percutian, tetapi membawa kepada pertemuan dengan Effa (lakonan Nora Danish), iaitu cinta pertama Din yang sedang berdepan ujian hidup. Konflik ini bakal menguji sejauh mana kepercayaan dan kesetiaan dalam mahligai perkahwinan mereka.

Membariskan pelakon hebat antaranya Fattah Amin, Amira Othman, Nora Danish, Sherry Alhadad, Bell Ngasri dan Ajai.