Fattah Amin & Amira Othman Pilih 14 September Sebagai Hari Bahagia
- oleh Mohd Indera
- 8 Sep 2025 5:25 pm

Pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman, mengumumkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 14 September ini, tarikh yang juga bersempena ulang tahun kelahiran Fattah.
Pengumuman penuh kejutan itu dibuat ketika majlis pelancaran single terbaharu Amira Othman dan adiknya Irfan Haris yang berjudul Rasa & Takdir.
Dalam suasana penuh emosi, Amira yang sedang berduet bersama adiknya, Irfan Haris, menerima lamaran istimewa daripada Fattah di atas pentas.
Kejutan bermula apabila Irfan menyerahkan sepasang kunci kepada Fattah sebagai simbolik menjadi rakan serumah.
Fattah kemudian menyerahkan kunci tersebut kepada Amira sambil meluahkan hasrat untuk menjadikan penyanyi itu sebagai suri hidupnya.
“Insya-Allah, kami akan mengikat janji pada 14 September ini, dan saya berharap semua mendoakan agar segalanya dipermudahkan,” ujar Fattah yang kini berusia 35 tahun.
Berita gembira itu sekali gus menamatkan teka-teki mengenai status hubungan mereka yang sebelum ini hanya diketahui sebagai rakan sekerja.
Kini, ikatan yang bermula melalui kerjasama seni bertukar menjadi hubungan suci perkahwinan.
Selain itu, peminat juga berpeluang menyaksikan secara langsung majlis ijab kabul pasangan ini menerusi program khas Setulus Takdir : Fattah Amira pada Ahad, 14 September 2025, jam 8.00 malam.
Program ini akan disiarkan secara percuma di unifiTV, Saluran Inspirasi 118 serta boleh ditonton melalui aplikasi Unifi TV 2.0.
Tidak hanya itu, peminat turut dapat mengikuti persiapan bakal mempelai menerusi Setulus Takdir : Fattah Amira di unifiTV, Saluran Inspirasi 118 bermula 9.00 malam ini, menjelang detik bersejarah pasangan selebriti tersebut.
Majlis pernikahan dijangka berlangsung secara sederhana dengan dihadiri keluarga terdekat dan rakan rapat kedua-dua belah pihak.