Ikuti Kami:

Fatima Rakam Memori Indah Dalam ‘Raya Pum Pang Lagi’

Fatima Rakam Memori Indah Dalam ‘Raya Pum Pang Lagi’

Kemeriahan Aidilfitri tahun ini bakal diserikan dengan satu kolaborasi yang cukup menyentuh hati apabila pelakon dan penyanyi popular, Fazura, tampil bersama anak kesayangannya, Fatima, menerusi lagu terbaharu berjudul Raya Pum Pang Lagi.

Lagu yang diberi nafas baharu itu bukan sekadar sebuah karya seni untuk memeriahkan suasana perayaan, malah ia merupakan naskhah peribadi yang merakamkan detik-detik manis serta memori berharga antara ibu dan anak.

Menurut Fazura, idea untuk melibatkan Fatima dalam projek ini lahir secara semula jadi selepas melihat gelagat anaknya yang sering menyanyikan lagu tersebut di rumah sejak tahun lalu.

“Sejujurnya, idea ini datang secara sangat natural. Tahun lepas apabila Raya Pum Pang keluar, Fatima memang selalu ikut menyanyi sekali di rumah. Dia hafal lirik, siap buat gaya sendiri.

“Dari situ saya rasa, kenapa tidak jadikan memori kecil itu sesuatu yang lebih bermakna? Raya Pum Pang Lagi ini bukan sekadar versi baru, tapi versi yang ada kenangan kami berdua sebagai ibu dan anak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menceritakan pengalaman di studio rakaman, Fazura mengakui berasa tersentuh melihat keyakinan yang ditunjukkan oleh anak kecilnya itu. Baginya, berdiri di hadapan mikrofon bukan sekadar tugasan profesional buat Fatima, tetapi satu pengembaraan baharu dalam hidup mereka.

“Masa sesi rakaman itu memang sangat comel. Fatima menyanyi dengan penuh yakin dan bangga, macam dia betul-betul tahu dia sebahagian daripada lagu ini.

“Sebagai ibu, tengok dia berdiri depan mikrofon dengan semangat macam itu memang buat saya rasa sangat tersentuh dan emosional. Ia satu kenangan indah yang akan saya simpan sampai bila-bila,” kongsi usahawan berjaya itu lagi.

Melalui buah tangan terbaharu ini, Fazura berharap agar pendengar dapat menghargai setiap momen kecil bersama keluarga, kerana baginya, keindahan Syawal terletak pada insan-insan yang berada di sisi.

“Raya bukan tentang baju cantik atau gambar sempurna semata-mata, tapi tentang siapa yang ada di sebelah kita masa itu. Saya harap bila orang dengar lagu ini, mereka teringat rumah, gelak tawa anak-anak, dan momen kecil yang mungkin selalu kita terlepas pandang,” tambahnya.

Raya Pum Pang Lagi bakal menemui peminat di semua platform penstriman digital bermula 20 Februari ini.

Terdahulu, gandingan ibu dan anak ini pernah mencuri tumpuan ramai apabila tampil bersama di atas pentas peragaan sebuah jenama tekstil terkemuka baru-baru ini.

Loading...