Ikuti Kami:

Farm Fresh Raih Anugerah Platinum Putra Brand Awards Lima Tahun Berturut-turut

Farm Fresh Raih Anugerah Platinum Putra Brand Awards Lima Tahun Berturut-turut

Farm Fresh Berhad (Farm Fresh) terus mengukuhkan dominasinya sebagai jenama tenusu pilihan utama rakyat Malaysia apabila merangkul Anugerah Platinum bagi kategori Minuman-Tenusu di Putra Brand Awards 2025, baru-baru ini.

Kejayaan itu adalah kemenangan Platinum kelima berturut-turut buat syarikat berkenaan sejak 2021, sekali gus membuktikan kepercayaan tinggi pengguna terhadap kualiti dan integriti jenama tempatan itu.

Putra Brand Awards, yang sering dianggap sebagai ‘Anugerah Pilihan Rakyat’, menentukan pemenang berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 52,000 maklum balas pengguna secara sukarela yang menilai aspek kepercayaan dan pengalaman mereka terhadap sesuatu jenama.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh Berhad, Encik Loi Tuan Ee berkata, pengiktirafan berkenaan amat bermakna kerana ia mencerminkan kesetiaan berterusan rakyat Malaysia.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi ini. Kemenangan ini membakar semangat kami untuk terus setia kepada nilai teras syarikat iaitu membekalkan produk tenusu segar tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh Berhad, Encik Loi Tuan Ee.

Farm Fresh yang diasaskan pada 2009 kini telah berkembang daripada sebuah ladang kecil di Johor menjadi operasi tenusu bersepadu sepenuhnya berkonsepkan “grass-to-glass”.

Ketegasan syarikat dalam memastikan produk mereka bebas daripada pengawet, pewarna tiruan, perisa tambahan, dan gula tersembunyi menjadi faktor utama ia terus kekal relevan dalam pasaran yang semakin mementingkan kesihatan.

Selain produk susu segar sedia ada, pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) membolehkan Farm Fresh memperkenalkan inovasi seperti susu bebas laktosa, susu kurma, serta rangkaian Farm Fresh Grow untuk kanak-kanak.

Syarikat itu kini menguruskan lebih 13,000 ekor lembu tenusu di Malaysia dan Australia dengan keluasan ladang mencecah 5,000 ekar.

Malah, Farm Fresh kini giat mengembangkan sayap ke peringkat serantau dengan menembusi pasaran Singapura, Brunei, Filipina, dan terbaharu, pasaran Kemboja pada Ogos tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Encik Azmi Zainal, turut menambah bahawa misi syarikat adalah untuk terus memberi impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat melalui amalan pertanian beretika yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Komen
Loading...