Ikuti Kami:

Farm Fresh Lancar Iklan Raya ‘Bersama SeMoola’, Perkasa Jenama Coklat Moola

Farm Fresh Lancar Iklan Raya ‘Bersama SeMoola’, Perkasa Jenama Coklat Moola

Pakar produk tenusu terkemuka, Farm Fresh Berhad (Farm Fresh) melancarkan kempen Aidilfitri terbaharunya menerusi filem pendek muzikal berjudul Bersama Semoola bagi menyemarakkan sambutan Hari Raya tahun ini.

Kempen yang melibatkan pelaburan kira-kira RM300,000 itu bukan sekadar satu naskhah seni, malah menjadi instrumen strategik dalam memperkasakan penjenamaan produk minuman coklat malt mereka, Moola.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Encik Azmi Zainal berkata, pemilihan tajuk Bersama Semoola adalah satu simbolik kepada penyatuan semula (reunion) yang menjadi teras sambutan Aidilfitri, selain mengukuhkan ingatan pengguna terhadap jenama Moola.

“Strategi pemasaran kami kali ini adalah dengan menggarap jalan cerita berdasarkan kekuatan lagu raya itu sendiri. Kita mahu menghasilkan lagu raya yang mempunyai elemen nostalgia dan boleh dinyanyikan setiap tahun, bukan sekadar popular untuk satu musim sahaja.

“Apabila orang menyanyikan lagu ini, mereka akan ingat Farm Fresh dan produk Moola. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan produk coklat malt kami terus diterima ramai sebagai pesaing utama di pasaran,” katanya pada majlis pelancaran iklan tersebut, di sini, hari ini.

Filem berdurasi 12 minit arahan Faizal Noar itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Khir Rahman, Dboy Hamdan dan Monrasli Aswad. Ia mengisahkan pengembaraan empat bekas anggota band era 70-an yang cuba membuat kemunculan semula (comeback) dengan lagu Raya baharu.

Menariknya, naskhah ini turut mendapat inspirasi daripada humor dan keunikan karya seni Allahyarham Mamat Khalid menerusi filem Rock Ooo, menggabungkan elemen nostalgia dengan gaya muzikal sinematik yang segar.

Encik Azmi sendiri turut membuat kejutan dengan memegang peranan penting sebagai salah seorang anggota kumpulan empat sekawan tersebut dalam filem berkenaan.

Satu lagi pencapaian penting kempen tahun ini ialah pelancaran runut bunyi asal (OST) ciptaan Margasatwa (Penerbitan Tongkat Sakti) bersama Megat Fazly.

Lagu bertajuk Gembira Raya Bersama SeMoola itu kini tersedia untuk penstriman sepenuhnya di Spotify, menjadikannya iklan Raya pertama syarikat itu yang mempunyai lagu tema rasmi di platform digital.

“Saya melihat idea ini sangat dekat dengan hati. Raya adalah waktu untuk bermaafan dan berjumpa semula, sama ada dengan kawan lama atau bapa yang sudah lama tidak ditemui. Walaupun penggambaran berlarutan hingga jam 4 pagi di Sungai Buloh, keserasian barisan pelakon menjadikannya sangat semula jadi,” tambah Azmi.

Iklan Bersama Semoola kini boleh ditonton di semua platform digital termasuk YouTube, TikTok, Instagram, dan Facebook bermula 11 Mac 2026.

Loading...