Farid Kamil Buka Kedai Moto EV Pertama, Tawar Moto EV Tempatan GGR Motor
- oleh Mohd Indera
- 11 Sep 2025 8:22 pm

Pelakon dan pengarah terkenal, Farid Kamil kini melangkah ke dunia keusahawanan apabila membuka Kedai Moto EV pertamanya di Bandar Setia Alam, Selangor, yang menawarkan motosikal elektrik (EV) keluaran syarikat tempatan GGR Motor.
Majlis perasmian Kedai Moto EV Farid Kamil itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapan perasmian menegaskan kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh pembangunan industri kenderaan elektrik sejajar komitmen Selangor untuk menjadi peneraju kenderaan hijau negara.
“Terima kasih saudara Farid Kamil selaku CEO NeoFK dan rakan-rakan kerana berani menceburi bidang EV. Selangor komited untuk menjadi peneraju agenda kenderaan hijau negara. Kehadiran Kedai Moto EV ini adalah langkah penting untuk mengurangkan pelepasan karbon, selaras dengan dasar pembangunan mampan negeri,” katanya.
Farid Kamil, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif NeoFK Sdn Bhd, berkata penglibatannya dalam industri EV bermula selepas tertarik dengan visi dan rekaan motosikal EV keluaran GGR Motor.
“Apa yang menarik perhatian saya ialah rekaan, konsep dan idea motosikal ini datang daripada anak Melayu sendiri. Saya lihat kesungguhan pengusaha tempatan ini yang mahu hasilkan motosikal EV mengikut spesifikasi yang memenuhi cita rasa pengguna. Dari situlah saya rasa terpanggil untuk turut serta,” katanya.
Menurut Farid, kedainya di Setia Alam sudah menerima lebih 200 tempahan awal, manakala pengeluaran batch pertama motosikal GGR melibatkan 2,000 unit.
“Di cawangan ini sahaja, kita sasarkan lebih 500 unit tempahan. Pelaburan kami setakat ini mencecah setengah juta ringgit. Untuk empat bulan terakhir tahun ini, kita menetapkan sasaran penjualan lebih 1,000 unit di Setia Alam,” jelasnya.
Selain cawangan di Setia Alam, Farid turut mendedahkan rancangannya untuk membuka cawangan baharu di Kelantan susulan permintaan awal lebih 100 unit daripada pelanggan di negeri itu.
“Insya-Allah, dalam tahun ini juga kami akan buka di Kelantan. Perancangan ini dibuat selepas melihat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pelanggan di negeri tersebut, dengan tempahan awal melebihi 100 unit.” tambahnya.
GGR Motor mempunyai lima model motosikal EV, termasuk model utama Lion G1 yang dijual pada harga mampu milik RM3,999 atau RM1,599 melalui subsidi MARIICas berjumlah RM2,400.
Lion G1 mampu mencapai kelajuan 35–70 km/j mengikut mod, dilengkapi motor 3,000W dengan jarak perjalanan sehingga 120 km bagi sekali cas penuh.
Sokongan pengecasan pantas membolehkan 50% tenaga dicapai dalam 1 jam 30 minit, manakala waranti menyeluruh meliputi sehingga 50,000 km.
Ia tidak memerlukan servis enjin berkala, hanya penyelenggaraan asas seperti tayar dan casing bateri.
Skim Galakan Motosikal Elektrik (MARIICas) ialah tawaran geran tunai berjumlah RM2,400 kepada individu yang berpendapatan tahunan tidak lebih dari RM100,000.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di https://insentif.marii.my/mariicas.