Ikuti Kami:

Farasu Gegar BE KL Dengan Showcase “7 Sumpahan, 7 Benua, 7 Lautan” Disember Ini

Farasu Gegar BE KL Dengan Showcase “7 Sumpahan, 7 Benua, 7 Lautan” Disember Ini

Kumpulan metal tanah air, Farasu, bakal menggempur pentas BE KL pada 27 Disember ini menerusi showcase eksklusif bertajuk “7 Sumpahan, 7 Benua, 7 Lautan”, yang dijangka menutup tirai 2025 dengan persembahan penuh tenaga, semangat dan adrenalin tinggi.

Showcase ini bakal menghimpunkan peminat muzik berat dari seluruh negara, mempersembahkan rangkaian karya daripada album mereka antaranya Majestica, Menongkah Arus, Against Tyranny, Sulalatus Salatin dan Si Bongkok Tanjung Puteri.

Ditubuhkan pada 12 Disember 2002 di Sri Serdang, Selangor, Farasu yang namanya diambil daripada perkataan Arab bermaksud kuda, kini dianggotai oleh Shah Zaini (vokal), Nahak (gitar), Apai (bass), Aman Keys (keyboard) dan Fidaiyyin (dram).

Nahak dan Fidaiyyin kekal sebagai dua anggota asal serta tulang belakang utama dalam penulisan lagu dan hala tuju muzik kumpulan ini.

Antara lagu popular Farasu yang sering menjadi pilihan peminat termasuk “Patrasari”, “Midnight Evil Spirit”, “Menongkah Arus”, “Si Bongkok Tanjung Puteri” dan “Seven Curse Ov Ledang”, yang menonjolkan kekuatan lirik berunsur sejarah, falsafah dan mitologi Melayu digabungkan dengan elemen muzik metal nusantara.

Terkini, Farasu turut melancarkan muzik video rasmi bagi lagu “Seven Curse Ov Ledang” yang diambil daripada album terbaharu mereka, Majestica yang dilancarkan di Drum Asia Live Sri Hartamas, Jun tahun lepas.

Menurut Nahak, pemain gitar dan pengasas kumpulan ini, showcase kali ini membawa makna istimewa buat seluruh anggota Farasu dan peminat yang setia menyokong perjalanan mereka selama lebih dua dekad.

“Showcase ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghargaan kepada semua yang telah bersama kami sejak awal. Kami mahu bawakan pengalaman yang bertenaga, menggambarkan perjalanan panjang Farasu yang sentiasa menongkah arus,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur Majestica Senibranica turut meluahkan rasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada penganjuran acara ini.

“Kami berbangga dapat menganjurkan showcase bersejarah ini bersama Farasu. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghormatan terhadap legasi muzik metal tempatan yang terus berkembang dan mendapat tempat di hati peminat,” ujarnya.

Selain Farasu, showcase ini turut menampilkan Ruh Arasy, Exhuman dan Slytheria menjanjikan malam penuh tenaga buat penggemar muzik metal tempatan.

Tiket pra-jualan dijual pada harga RM30, manakala tiket di pintu masuk berharga RM40, dengan pintu dibuka mulai 7.30 malam.

Acara ini dianjurkan dengan sokongan Rockstage Entertainment dan KepalaMetal, bersama The Mediator sebagai jurufoto rasmi, Daddy’s Studio sebagai juruvideo rasmi serta Magenta Screen Printing selaku pengeluar barangan rasmi showcase.

Komen
Loading...