Kerinduan terhadap kemeriahan suasana Aidilfitri yang penuh warna-warni dan gelak tawa menjadi inspirasi buat penyanyi dan pelakon versatil, Farahdhiya, untuk kembali menyemarakkan sambutan Syawal tahun ini.
Selepas sekian lama menyimpan hasrat, Farahdhiya kini tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul “Eh Ah! Raya”, sebuah naskhah rancak yang menjanjikan kemeriahan suasana lebaran bersama keluarga dan insan tersayang.
Lagu hasil kolaborasi kreatif bersama komposer prolifik, Pown Hasril itu menyaksikan Farahdhiya bukan sahaja menyumbang vokal, malah turut mempamerkan bakatnya sebagai penulis lirik sepenuhnya bagi karya berkenaan.
Menurut Farahdhiya, “Eh Ah! Raya” adalah gambaran personaliti dirinya yang ceria dan sedikit ‘playful’, selain mengangkat semangat kekeluargaan yang tebal.
“Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu raya sendiri yang benar-benar mencerminkan jiwa saya. Lagu ini adalah gambaran suasana ketika semua orang sibuk membuat persiapan, anak-anak berlari riang dan keluarga berkumpul tanpa mengira usia,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai komposisi muzik, lagu ini menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden yang cukup segar.

Bunyi-bunyian klasik seperti rebana daripada Ajay Amai disulam kemas dengan sentuhan pop kontemporari, menjadikannya dekat dengan cita rasa pendengar masa kini.
Tambah pelakon drama Spa Q ini lagi, beliau berharap “Eh Ah! Raya” mampu menjadi antara ‘playlist’ wajib setiap kali menjelang Syawal.
“Saya harap apabila orang dengar lagu ini, mereka terus rasa hendak balik kampung, terbayang juadah atas meja dan rasa teruja untuk beraya.
“Bagi saya, raya bukan sekadar tentang pakaian baharu atau kuih-muih, tetapi tentang kebersamaan dan kemaafan. Itu mesej yang saya cuba sampaikan,” ujarnya lagi.
Kemeriahan lagu ini turut diserikan dengan vokal latar daripada Glowrush dan Ajay Amai, selain penampilan suara kanak-kanak, Nawal Zayani serta Nawal Ariana yang menambah elemen keceriaan.
Single edaran Seventeen Eleven Muzik ini boleh mula didengari di semua platform penstriman digital bermula 25 Februari ini.
Peminat juga boleh menonton video muzik rasminya yang berkonsepkan warna-warni tradisi raya di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.




