Fajar Noor Pikat Peminat Malaysia Menerusi “Tahta Hatiku #Pendampingmu”
- oleh Mohd Indera
- 6 Aug 2025 11:42 am

Penyanyi muda berbakat dari Indonesia, Fajar Noor, berjaya memikat hati peminat Malaysia menerusi single sulungnya yang penuh emosi, “Tahta Hatiku #Pendampingmu”.
Lagu ciptaan komposer tersohor Yovie Widianto dengan lirik oleh Arsy Widianto itu membawa mesej tentang cinta yang ikhlas, memilih untuk terus setia mendampingi insan tercinta meskipun tidak dapat memiliki sepenuhnya.
Kehadiran Fajar Noor ke Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 3 Ogos lalu sempena kunjungan promosinya mendapat sambutan hangat daripada peminat tempatan dan penggiat media.
Sepanjang lawatan ini, Fajar terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti persembahan televisyen, temu bual media, sesi fotografi dan makan malam eksklusif bersama peminat terpilih.
“Lagu ini tentang mencintai dalam diam. Kadang kita tak selalu dapat bersama orang yang kita sayang, tapi kita tetap ada untuk mereka. Saya percaya ramai orang pernah melalui perasaan itu,” kata Fajar.
Tambahnya, pendekatan menyampaikan rasa melalui lagu lebih dekat dengan dirinya sebagai seorang yang tidak begitu ekspresif secara lisan.
“Saya lebih selesa biar lagu yang menyampaikan perasaan saya. Tak sangka sambutan di Indonesia sangat kuat, dan saya harap rakyat Malaysia juga boleh menerima lagu ini,” ujarnya lagi.
Fajar turut memperkenalkan lagu keduanya, “Menjaga Hati”, kepada peminat di sini sebagai pelengkap kepada mesej cinta dan kesetiaan yang ingin disampaikannya melalui muzik.
Dengan sokongan penuh daripada Universal Music Malaysia, Fajar Noor kini dilihat bersedia mengembangkan karier muziknya ke pasaran serantau, termasuk Malaysia yang dianggap sebagai langkah penting dalam perjalanannya sebagai penyanyi profesional.
“Saya mahu bina hubungan jangka panjang dengan peminat di Malaysia. Ini baru permulaan. Insya-Allah, akan ada lebih banyak karya selepas ini,” katanya.