Faizal Tahir Menghangatkan Pentas Konsert The Journey of Sound Bersama Dato’ Sri Siti Nurhaliza & Judika
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Penyanyi tersohor Malaysia, Faizal Tahir, bakal menyemarakkan suasana sebagai artis jemputan dalam konsert yang dinantikan ramai, The Journey of Sound, yang menampilkan ikon muzik Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan penyanyi terkenal Indonesia, Judika.
Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 14 Disember 2024 di Stadium Merdeka, menjanjikan pengalaman muzik luar biasa dengan gabungan dua suara emas dari Malaysia dan Indonesia.
Faizal Tahir, yang dikenali menerusi lagu hits seperti “Sampai Syurga”, “Bencinta”, dan “Ragaman”, menyatakan rasa terujanya untuk berkongsi pentas bersama dua bintang besar.
“Saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada konsert yang menggabungkan dua suara ikonik seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Judika.
“Ini adalah satu penghormatan besar, dan saya berharap untuk memberikan persembahan yang terbaik kepada semua peminat,” ujar Faizal.
Konsert mega ini dibawakan oleh Universe Gateway, menyatukan dua budaya muzik dalam satu malam penuh magis.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza akan mendendangkan lagu-lagu hit seperti “Cindai”, “Bukan Cinta Biasa”, dan “Aku Cinta Padamu,” sementara Judika bakal memukau penonton dengan lagu-lagu terbaiknya seperti “Mama Papa Larang” dan “Aku Yang Tersakiti.”
The Journey of Sound bukan sekadar konsert, tetapi simbol perpaduan dan kecintaan terhadap muzik nusantara.
Acara ini dijangka menarik ribuan peminat dari kedua-dua negara, menjadikan ia malam yang istimewa untuk pencinta muzik.
Terdahulu, berikutan permintaan tinggi daripada peminat Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Judika, pihak penganjur konsert “The Journey of Sound,” Universe Gateway, mengumumkan penambahan kategori harga tiket mampu milik bermula serendah RM149.
Tiket boleh dibeli melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.my.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan gabungan suara hebat Faizal Tahir, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dan Judika dalam The Journey of Sound!