Ikuti Kami:

Ezad & Zamani Bergabung Dalam Konsert ‘Slam X Exists – Our Journey’

Ezad & Zamani Bergabung Dalam Konsert ‘Slam X Exists – Our Journey’

Dua vokalis legenda tanah air, Ezad Lazim daripada Exists dan Zamani Ibrahim daripada Slam, bakal menggegarkan pentas bersama dalam konsert yang cukup dinanti-nantikan, “Slam X Exists – Our Journey”.

Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dan dijangka menjadi salah satu acara muzik paling bersejarah tahun ini.

Penyatuan dua suara emas yang pernah mendominasi era 90-an ini pastinya menjadi detik yang sangat bermakna buat para peminat.

Dengan gabungan vokal yang unik dan penuh emosi, Ezad dan Zamani bakal menyampaikan lagu-lagu ikonik seperti Julia, Jesnita, Langkah Seiringan, Gerimis Mengundang, Rindiani dan Mentari Muncul Lagi, selain persembahan duet istimewa yang dijangka mengundang nostalgia dan rasa kagum.

Menurut Shah Nizam Abdul Halim, pengasas SS Karya Venture dan penganjur utama konsert ini, kolaborasi antara Ezad dan Zamani bukan sekadar penyatuan dua penyanyi hebat, tetapi simbol kepada kekuatan muzik Malaysia yang merentas generasi.

“Gabungan mereka adalah satu lambang kekuatan muzik era 90-an yang tidak lapuk dek zaman. Ezad dan Zamani bukan sekadar penyanyi, mereka adalah suara kepada perasaan dan kenangan ramai. Konsert ini adalah hadiah kepada peminat yang membesar bersama karya mereka dan bukti bahawa muzik yang lahir daripada jiwa tidak pernah hilang nilainya,” katanya.

Shah Nizam turut menegaskan bahawa konsert ini bukan hanya persembahan biasa, tetapi satu pengalaman emosi yang membawa penonton mengimbas semula perjalanan panjang dua kumpulan tersohor tanah air.

“Kami mahu lebih daripada sekadar pentas dan lagu. Kami mahu berkongsi kisah. Slam dan Exists telah melalui jatuh bangun bersama-sama peminat. Konsert ini adalah kisah mereka — dan kisah kita semua,” tambah beliau.

Konsert ini juga akan menampilkan susunan muzik baharu serta elemen visual moden, diiringi oleh barisan pemuzik profesional bagi memastikan pengalaman audio visual yang memukau dan meninggalkan kesan mendalam.

Sambutan terhadap konsert ini amat memberangsangkan sejak tiket mula dijual. Kategori tiket “Langkah Seiringan” habis dalam masa tiga hari, manakala kategori “Rindiani” hampir habis dalam seminggu.

Tiket ditawarkan pada harga bermula dari RM168 hingga RM3000, termasuk pilihan VIP dan Grand VIP, menandakan betapa tingginya keterujaan peminat terhadap pertembungan dua ikon ini.

Bagi peminat yang masih belum mendapatkan tiket, anda boleh melayari laman web rasmi di www.ilassoTicket.com/slamexists. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh sejarah ini.

Foto Oleh: Papadin.

Komen
Loading...