Ikuti Kami:

Ezad Lazim Rakam Semula Lagu Viral ‘Rindu Hatiku Rindu’ Dengan Sentuhan Baharu

Ezad Lazim Rakam Semula Lagu Viral ‘Rindu Hatiku Rindu’ Dengan Sentuhan Baharu

Penyanyi balada terkenal, Ezad Lazim, yang sebelum ini mencipta nama sebagai vokalis kumpulan Exists, kembali mencuri perhatian dengan merakam semula lagu trending, “Rindu Hatiku Rindu.”

Lagu yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi cilik Tantari ini kini diberikan nafas baharu oleh Ezad, menjadikan lagu ala 90-an tersebut lebih istimewa dan sesuai dengan suaranya yang matang serta penuh emosi.

Lagu asal “Rindu Hatiku Rindu,” hasil ciptaan komposer Eddie Hamid dengan lirik oleh Jaju dan Hakim Hakimi, telah diterbitkan pada awal tahun ini.

Tantari, atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd Alfian yang ketika itu berusia enam tahun, melonjak ke #1 trending di YouTube selama 20 hari berturut-turut dan kini telah mencatat lebih 9 juta tontonan.

Lagu tersebut juga mencetuskan fenomena di TikTok dengan video muzik yang meraih lebih 4 juta tontonan di akaun TikTok HafizFeisal.

Ezad menyifatkan peluang untuk merakamkan semula lagu ini sebagai satu penghormatan dan berharap versi terbarunya mampu mendapat sambutan hebat seperti versi asal.

“Lagu ini sangat istimewa, bukan sahaja buat peminat muzik masa kini tetapi juga sebagai penghargaan terhadap karya seni yang melangkaui zaman. Saya harap versi ini akan terus mendapat tempat di hati pendengar,” kata Ezad.

Menurut Ezad, proses rakaman semula dijalankan dengan penuh teliti di mana dia bekerja rapat dengan penerbit untuk mengekalkan elemen asal lagu sambil menambah elemen unik dari sudut perspektif penyanyi dewasa.

Melalui gaya persembahan yang lebih matang, Ezad yakin bahawa versinya mampu menarik minat pendengar baharu serta peminat setia karya asal.

Dalam dunia muzik, Ezad Lazim bukanlah nama asing.

Bersama Exists, dia telah menyumbangkan banyak lagu hit seperti “Jesnita” (16 juta tontonan di YouTube), “Mengintai Dari Tirai Kamar” (14 juta tontonan), “Seperti Dulu” (14 juta tontonan), dan “Alasanmu” (10 juta tontonan).

Sebagai penyanyi solo, Ezad turut mencipta lagu popular seperti “Demi Cinta” (14 juta tontonan), “Percintaan Ini” (5.2 juta tontonan), dan “Hati Mati” (3.8 juta tontonan).

Versi rakaman semula “Rindu Hatiku Rindu” oleh Ezad, yang dikeluarkan pada bulan lalu, sudah boleh distrim di semua platform penstriman muzik.

Video lirik rasmi yang dimuat naik pada 18 September 2024 telah mencapai kedudukan Top 20 trending di YouTube.

Peminat boleh menantikan siaran perdana video muzik rasmi lagu tersebut yang akan berlangsung di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari Jumaat, 8 November jam 3 petang di pautan ini: https://www.youtube.com/watch?v=4S4i2JhhUnk.

Komen
Loading...