Ikuti Kami:

Extra Joss Oren Kembali Ke Pasaran Malaysia, Sasar Pikat Generasi Z

Extra Joss Oren Kembali Ke Pasaran Malaysia, Sasar Pikat Generasi Z

Extra Joss, jenama minuman tenaga terkemuka di Asia Tenggara, secara rasmi melancarkan semula varian Extra Joss Oren di pasaran Malaysia sebagai strategi meluaskan penguasaan pasaran dalam segmen minuman tenaga mampu milik.

Pelancaran semula itu bukan sekadar memenuhi permintaan peminat setia, malah bertujuan menarik minat golongan muda, khususnya Generasi Z (Gen Z) yang mencari pilihan minuman yang lebih ringan dan menyegarkan.

Pengurus Negara Kalbe Malaysia Sdn Bhd, Oktavianus, berkata keputusan untuk membawa kembali perisa oren itu dibuat berdasarkan kajian pasaran dan maklum balas pengguna yang mahukan kepelbagaian rasa selain daripada varian popular sedia ada.

“Berdasarkan penyelidikan pengguna, kami mendapati Extra Joss semakin diminati oleh anak muda dan Gen Z. Walaupun perisa Anggur kekal sebagai kegemaran ramai, perisa Oren menawarkan profil rasa yang lebih segar dan mudah dinikmati pada bila-bila masa,” katanya semasa sesi bersama media hari ini.

Mengulas mengenai prestasi jualan, Oktavianus optimis bahawa pengenalan semula varian ini akan memacu pertumbuhan syarikat bagi tahun 2026.

“Tahun lalu (2025), kami mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 16 peratus. Bagi tahun ini, kami meletakkan sasaran pertumbuhan minimum 15 peratus untuk pasaran Malaysia. Kami yakin sasaran ini mampu dicapai melalui strategi pemasaran yang agresif serta kehadiran produk baru ini,” katanya.

Extra Joss kini memegang kedudukan sebagai pemimpin pasaran (market leader) bagi kategori minuman tenaga serbuk di Malaysia dengan menguasai kira-kira 80 peratus syer pasaran bagi segmen tersebut.

Dalam pada itu, Kalbe Malaysia turut menasihati pengguna agar berwaspada dengan kehadiran produk Import Selari (Parallel Import) yang tidak melalui saluran rasmi.

Walaupun produk berkenaan bukan barangan tiruan, ia tidak melalui proses percukaian tempatan dan tidak mematuhi keperluan pelabelan daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Hanya produk yang diedarkan secara rasmi oleh Kalbe Malaysia dijamin mematuhi piawaian keselamatan tempatan dan menawarkan ketelusan kualiti kepada pengguna,” tegasnya.

Bagi mengukuhkan jenama pada masa hadapan, Extra Joss turut merancang untuk memperkenalkan produk dalam bentuk tin (RTD) yang dikenali sebagai Extra Joss Ultimate menjelang separuh kedua tahun 2026.

Langkah ini dilihat sebagai usaha syarikat untuk bersaing dengan jenama antarabangsa lain dalam kategori minuman sedia diminum yang lebih premium.

Extra Joss Oren yang mengandungi Vitamin B Kompleks, Ginseng Korea dan Royal Jelly kini boleh didapati di semua rangkaian kedai runcit, pasar raya dan platform e-dagang di seluruh negara.

Komen
Loading...