EXISTS Tawar Pengalaman “PREMIUM” Dec Ini, Hadiah Istimewa Gitar Along & Set Dram PDP
- oleh MDaily Editor
- 19 Nov 2025 4:07 pm
Kumpulan rock legenda Malaysia, Exists, bakal menutup tirai konsert tahun 2025 dengan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ, yang dijadualkan berlangsung pada 20 Disember 2025 di JioSpace, Petaling Jaya.
Konsert ini menampilkan sesi interaksi lebih dekat dengan peminat, termasuk sembang-bual tentang lagu-lagu hit Exists, momen rakaman serta kisah di sebalik setiap lagu.
![]()
Menurut Ezad, Exists ingin memastikan konsert ini menjadi penutup tahun yang mewah sebelum mereka memulakan rangkaian konsert pada tahun hadapan.
“Kami menghargai setiap peminat dan mahu setiap momen dalam konsert ini menjadi kenangan yang tidak dilupakan,” katanya.
Menurut Sean Ng dari JioBuddy, penundaan konsert dari tarikh asal 4 Oktober adalah hasil persetujuan bersama Exists bagi memastikan persembahan ini benar-benar membawa makna “premium”.
“Konsert mereka ‘back to back’. Secara logiknya juga, Exists akan memainkan lagu-lagu hit mereka sama seperti dalam kebanyakan persembahan atau konsert yang telah dilakukan.
“Bagaimanapun selaku penganjur, saya boleh memberi jaminan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ akan bertaraf premium atau mewah seperti judul yang dipilih.
“Premium daripada segi permainan muzik, premium daripada segi audio dan premium buat peminat yang hadir kerana konsert ini bersifat lebih intim,” katanya.

Lebih menarik, Exists menyediakan dua hadiah eksklusif untuk peminat bertuah iaitu gitar akustik milik Along dan satu set dram jenama PDP.
“Peminat hanya perlu hadir ke pentas JioSpace pada 20 Disember nanti untuk peluang memenangi hadiah-hadiah istimewa ini.” jelas Ujang.
Konsert yang dianjurkan oleh JioBuddy ini menjanjikan pengalaman persembahan lebih intim, eksklusif dan bertaraf premium untuk peminat setia.
Tiket konsert boleh didapati dalam tiga kategori: Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) melalui laman web www.jiotix.asia atau talian hotline +6011 1660 1122 (khusus OKU).




