Ikuti Kami:

Exists Premium: Peminat Gamit Memori Menerusi 21 Lagu Malar Segar

Exists Premium: Peminat Gamit Memori Menerusi 21 Lagu Malar Segar

Kumpulan rock legenda tanah air, Exists, sekali lagi membuktikan pengaruh mereka yang masih utuh apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 900 peminat dalam konsert ‘Exists Premium’ yang berlangsung di Jiospace, malam semalam.

​Sepanjang dua jam persembahan, kumpulan yang dianggotai oleh Ezad Lazim (vokalis), Ajai (keyboard), Along (gitar), Musa (bes), dan Ujang (dram) itu mengubati kerinduan penonton dengan rangkaian 21 buah lagu yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik tempatan.

​Meskipun vokalisnya, Ezad Lazim, dilaporkan dalam keadaan kurang sihat, beliau tetap mempamerkan profesionalisme tinggi dan semangat kental bagi memastikan peminat yang hadir tidak pulang dengan rasa kecewa.

​Tirai konsert dibuka dengan persembahan instrumental bertenaga sebelum Ezad tampil memulakan nyanyian dengan lagu popular, Mama Tolonglah Percaya.

​Antara seleksi lagu yang dibawakan termasuklah naskhah yang jarang didengar dalam konsert sebelum ini seperti Menantikan Saat Termampu dan Kau Lebih Dari Kejora, selain rangkaian lagu wajib seperti Percayakan Siti, Seperti Dulu, dan Julia.

​Suasana di dalam dewan bertambah gamat apabila kesemua penonton berdiri dan menyanyi bersama-sama (sing-along) ketika Exists mendendangkan lagu-lagu ‘berhantu’ mereka seperti Rahsia Pohon Cemara, Mengintai Dari Tirai Kamar, dan Alasanmu.

​Selain kualiti muzik yang mantap, konsert itu turut diselitkan dengan kejutan buat peminat apabila dua penonton bertuah membawa pulang hadiah cabutan bertuah berupa set dram serta gitar peribadi milik Along sendiri sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu mereka selama ini.

​Konsert ‘Exists Premium’ ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, malah ia menjadi medan pertemuan penuh emosi yang membuktikan bahawa karya-karya malar segar kumpulan itu tetap relevan merentas zaman.

Komen
Loading...